Skuad hoki lelaki, wanita dalam program podium sehingga Januari

Subahan. - Foto Agensi
Subahan. - Foto Agensi
A
A
A

KONFIDERASI Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan skuad lelaki dan wanita akan berada dalam Program Podium sehingga Januari depan sebagai persediaan menghadapi aksi kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, adalah penting bagi skuad Speedy Tigers dan Malaysian Tigress menampilkan aksi terbaik untuk menempah slot beraksi pada temasya itu kerana Majlis Sukan Negara (MSN) akan menilai semula kedudukan mereka dalam program berkenaan selepas kelayakan tersebut berakhir.

"Alhamdullilah kita berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara kerana dalam perbincangan bersama Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub, pasukan lelaki memang dalam Program Podium (sejak 2017) namun wanita tidak, tetapi kita merayu dan dipersetujui dalam mesyuarat.

"Pasukan wanita sepatutnya hanya dalam Program Podium dari Jun hingga Oktober 2023 ketika persediaan ke Sukan Asia Hangzhou 2022, tetapi diberi peluang sama macam kumpulan lelaki sehingga Kelayakan Olimpik pada Januari depan. Pasti (program podium akan dinilai semula) selepas aksi kelayakan bergantung kepada outcome,” katanya.

Subahan berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan di MSN, Bukit Jalil di sini hari ini.

Skuad hoki lelaki akan beraksi dalam Kelayakan Olimpik di Muscat, Oman bermula 15 hingga 21 Jan depan, dan diundi menentang Great Britain, Pakistan dan China dalam Kumpulan A.

Sementara, skuad hoki wanita yang akan beraksi di Valencia, Sepanyol pada 13 hingga 24 Jan depan, diundi dalam Kumpulan B bersama Great Britain, Sepanyol dan Kanada.

Pasukan yang berada di kedudukan tiga teratas di setiap kejohanan kelayakan Olimpik akan mendapat slot ke Sukan Olimpik Paris 2024. - Bernama

Artikel Berkaitan: