[VIDEO] 'Hanya nasi goreng kosong alas perut'

A
A
A

KUANTAN - Sebuah keluarga yang berdepan kesempitan hidup sering kali menjadikan nasi goreng kosong sebagai sajian mereka.

Kehidupan itu dilalui Zarina Abdul Aziz, 52, dan suami, Afandi Tahir, 53 bersama ibu dan lima anaknya yang menetap di Felda Bukit Goh di sini.

Afandi memberi minum kepada ibu mentuanya, Rafeah di kediaman mereka di Felda Bukit Goh di sini pada Selasa.
Afandi memberi minum kepada ibu mentuanya, Rafeah di kediaman mereka di Felda Bukit Goh di sini pada Selasa.

Zarina berkata, kepayahan hidup ditempuh sejak tujuh lalu, selepas ibunya, Rafeah Yun, 77, tidak mempunyai keupayaan untuk menjaga diri sendiri selepas menghidap penyakit demensia atau nyanyuk.

Dia mengakui tidak boleh bekerja kerana perlu menguruskan ibunya setiap masa dan sisa kehidupan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Saya ada dua anak yang bekerja, kalau hendak minta tolong, mereka bukan gaji besar pun, cukup untuk mereka sahaja. Jadi, pendapatan suami yang tidak seberapa itulah terpaksa guna untuk belanja hari-hari.

"Terus terang cakap (dalam) dua tiga hari ini kami makan nasi goreng sahaja, janji ada beras," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Goh di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu, dengan pendapatan suami sebanyak RM1,500 sebulan, namun jumlah terbabit tidak cukup untuk menanggung semua perbelanjaan rumah.

Afandi memastikan ibu mentuanya diuruskan sebaiknya dari segi keperluan asas walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Afandi memastikan ibu mentuanya diuruskan sebaiknya dari segi keperluan asas walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Ujarnya, suaminya bukan hanya perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah, malah turut menanggung perbelanjaan ibunya yang mececah sehingga RM600 sebulan.

Katanya, perbelanjaan khusus itu diperlukan bagi membeli lampin pakai buang, susu dan ubat-ubatan.

"Sebulan mak perlukan 12 hingga 14 bungkus lampai pakai buang dan sebulan perlukan 30 tin susu pekat manis. Kalau minum susu formula mak akan (alami) cirit-birit.

"Dari dulu sampai sekarang dia minum susu pekat dan kalau saya tidak bagi kesian pula. Kalau saya bagi oat atau pun air masak mak enggan minum," ujarnya yang memaklumkan ibunya pernah koma selama empat hari kerana pendarahan di kepala akibat terjatuh di bilik air tujuh tahun lalu.

Bercerita lanjut cabaran menjaga ibunya, Zarina berkata, tidak mudah menjaga ibu yang nyanyuk dan banyak perkara dipelajarinya.

Zarina
Zarina

Dia mengakui beberapa kali berdepan dengan kehilangan ibunya disebabkan kecuaiannya ketika menguruskan rumah tangga.

"Pernah berlaku atas kelalaian saya, mak keluar rumah dan hampir sejam mencari baru menemuinya. Pernah juga dia (mak) memanggil orang luar untuk membuka pintu bagi membolehkan dirinya keluar.

"Selepas kejadian itu, saya tidak boleh bekerja dan perlu pantau mak sepenuh masa. Saya juga tidak boleh apla, disebabkan orang luar atau diri saya sendiri (mak keluar dari luar rumah) sebab mak suka berjalan," jelasnya.

Sementara itu, Afandi menyuarakan rasa kecewa dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menolak permohonan bantuan ibunya, sedangkan sumber pendapatan bulanannya tidak seberapa.

Menurutnya, permohonan itu dibuat oleh pemimpin setempat sekitar pada tahun lalu bagi membantu meringankan bebannya yang turut menanggung dua anak bersekolah dan isteri.

"Semalam (Selasa) saya dapat surat jawapan daripada jabatan berkenaan, saya tanya kenapa terlalu lama untuk membuat keputusan tentang permohonan saya dari tahun 2022 sampailah bulan 11 (November) tahun ini baru dapat jawapan.

"Tapi jawapan pula agak mengecewakan sayalah kerana mak mentua saya tidak layak menerima bantuan atas alasan komitmen saya tinggi," katanya memaklumkan ibu mentuanya hanya memperolehi bantuan zakat sebanyak RM300, namun jumlah itu tidak mencukupi.

Afandi mengakui pernah ketiadaan wang dan terpaksa meminjam daripada kenalan terdekat.

"Sentiasa lalui (ketiadaan wang), jadi terpaksa pinjaman dengan kawan dan bayar ansur-ansur. Bila tiada duit, memang terpaksa ikat perut.

"Orang tengok dari zahirnya nampak macam mewah, tapi zahir itu sahaja. Rumah besar, ada kereta, tidak semesti kami ada wang itu semua adalah keperluan," jelasnya.

Pada Selasa tular di laman sosial Facebook Warga Kuantan berhubung kekecewaannya terhadap JKM yang menolak permohonannya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Maybank 156094331958 atas nama Zarina.