'Keluarga senang hati Yasin dapat jalani rawatan' - Abang

Muhammad Yasin Sulaiman. Foto: Bernama
Muhammad Yasin Sulaiman. Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Debar menanti keputusan mahkamah menyebabkan hampir seluruh keluarga penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yasin Sulaiman tidak tidur lena.

Abang penyanyi nasyid itu, Zain Sulaiman berkata, hampir seminggu ahli keluarga tidak dapat tidur lena kerana memikirkan nasib yang bakal dihadapi oleh anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu.

Zain yang merupakan anak kedua berkata, keputusan mahkamah pada hari ini adalah satu perkara membimbangkan seluruh ahli keluarga.

"Kami seisi keluarga tidur tidak lena kerana memikirkan apakah kesudahan perbicaraan ini.

"Namun pada hari ini, seluruh ahli keluarga berasa sangat bersyukur dengan keputusan yang telah diumumkan oleh hakim. Perasaan syukur ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.



"Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi di atas keputusan hari ini yang memihak kepada Yasin. Sudah lama kita tunggu hari ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Yasin (tengah) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Yasin (tengah) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu. FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Jelas Zain, dia sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada adiknya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu menurutnya, ucapan terima kasih ditujukan kepada barisan peguam, doktor pakar, sahabat handai serta pihak media.

Kata beliau, dia seisi keluarga tidak mampu untuk membalas budi dan jasa baik yang telah diberikan.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan mahkamah memerintahkan Yasin dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan di Perak bagi mendapatkan rawatan, Zain berkata, ia satu keputusan yang baik.

Jelas beliau, perkara itu bukan satu permasalahan kerana yakin Yasin akan mendapat rawatan sempurna dan sebaiknya.

"Kami sekeluarga tidak risau, malah kami tahu beliau (Yasin) akan dijaga dengan baik dan menerima rawatan pakar.

"Apa yang boleh kami katakan adalah perasaan syukur, alhamdulillah.

"Jauh atau dekat, ia bukan satu isu. Apa yang penting, Yasin dapat menerima rawatan dan kami berasa senang hati," ujarnya.