[VIDEO] Keputusan amah, suami bunuh majikan ditetapkan 11 Disember

A
A
A

JOHOR BAHRU - Hukuman terhadap amah dan suaminya yang membunuh majikan mereka, tiga tahun lalu akan diputuskan Mahkamah Tinggi pada 11 Disember nanti.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas warga Indonesia, Ekalia dan Bartolomeus Fransceda masing-masing 23 tahun, menukar pengakuan mereka kepada bersalah pada Rabu.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa membunuh Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, Kulai pada kira-kira jam 2 petang, 17 Mac 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.

Tertuduh Ekalia (tengah) dan suaminya, Bartolomeus Fransceda (depan) menukar pengakuan kepada bersalah bersama-sana membunuh majikannya pada Mac 2019 di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu.
Tertuduh Ekalia (tengah) dan suaminya, Bartolomeus Fransceda (depan) menukar pengakuan kepada bersalah bersama-sana membunuh majikannya pada Mac 2019 di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu.

Mengikut fakta kes, berdasarkan siasatan dan analisis kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, tertuduh pertama iaitu Bartolomeus, dan kedua, Ekalia, telah membunuh si mati dengan menggunakan cangkul kecil mempunyai dua mata tajam.

Tertuduh pertama dan kedua telah memukul si mati dengan cangkul kecil itu di bahagian kepala ketika si mati sedang berehat, sebelum mereka mengambil Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur bagi bertemu rakan bagi mencari kerja baharu.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua tertuduh berjaya ditahan di sebuah restoran di Damansara sebelum hasil analisis patologi mendedahkan punca kematian mangsa adalah kerana luka tetak berganda di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala dua tertuduh diwakili peguam, Ooi Pen Lyn dan S Selvi.

Pen Lyn memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kepada kedua-dua tertuduh kerana mereka sebenarnya adalah mangsa kepada pemerdagangan manusia kerana ditipu ejen pekerja tidak berdaftar.

"Kedua-duanya dijanjikan bekerja di Sarawak dan Kuala Lumpur, namun apabila tiada pekerjaan yang dijanjikan itu mereka mahu pulang ke Indonesia.

"Namun agensi tidak membenarkan mereka pulang dan mengugut supaya mereka membayar wang pampasan jika berdegil, sebelum dihantar bekerja sebagai tukang kebun dan amah di kediaman seorang warga emas.

"Kedua-dua tertuduh menyatakan mereka bukan sahaja diseksa secara mental dan fizikal oleh warga emas berkenaan malah diperhambakan mereka dengan tidak diberi makan selain diarahkan tinggal di pondok luar kediaman berkenaan.

"Oleh itu, saya memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun bagi membolehkan mereka pulang ke Indonesia bersama keluarga apatah lagi mereka sudah bertaubat, insaf dan kesal atas perbuatan mereka," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya berkata, alasan diseksa dan diperhambakan tidak boleh dijadikan lesen untuk kedua-dua tertuduh untuk meletakkan undang-undang di tangan sendiri apatah lagi membunuh dengan kejam.

"Oleh itu saya memohon mahkamah memberikan hukuman pengajaran sebagai iktibar kepada masyarakat supaya tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

"Walaupun hukuman Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah dipinda dengan meletakkan hukuman penjara, namun adalah menjadi hak mahkamah untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati berdasarkan kes dan situasi," katanya.