SPM 2023: Ujian amali sains 5 hingga 7 Disember ini

Ujian Amali Sains bagi SPM 2023 bagi mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan akan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember ini. - Gambar hiasan
Ujian Amali Sains bagi SPM 2023 bagi mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan akan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ujian Amali Sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 melibatkan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan akan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 91,908 calon telah mendaftar bagi mata pelajaran Fizik, manakala bagi subjek Kimia ialah 93,135 calon, Biologi (72,841 calon) dan Sains Tambahan (1,784 calon).

"KPM ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun menerusi laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

"Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

"Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2023," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPM memberitahu pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun ini berlangsung.

"KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.

Selain itu, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara, menurut kenyataan itu.

"KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur," menurut kenyataan itu. - Bernama