Dewan Negara lulus RUU kesatuan kerja, SPAN

Dewan Negara pada Selasa meluluskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023. - Foto Bernama
Dewan Negara pada Selasa meluluskan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023, yang antara lain bertujuan memansuhkan sekatan penubuhan kesatuan sekerja termasuk hanya membenarkan satu kesatuan sekerja dalam mana-mana industri pekerjaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud, ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, pindaan tersebut jelas memulangkan hak kepada pekerja kerana mereka bebas memilih sama ada mahu menubuhkan atau menganggotai lebih daripada satu kesatuan sekerja.

Beliau berkata, ia menjadi prinsip di bawah Konvensyen 87 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu kebebasan untuk mewujud atau menubuhkan hanya satu kesatuan sekerja hendaklah diberi kepada pekerja tanpa sekatan undang-undang.

"Cuba tengok kedudukan di mana negara kita berada dalam konteks kesatuan sekerja ini, antara tertinggi ialah Iceland dengan 91.4 peratus, Denmark (67), Sweden (65), Jepun (16.8), Korea (12.4), Indonesia (13), Kemboja (9.6) dan Malaysia enam peratus sahaja," katanya sebelum rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 yang bertujuan memperkemas tadbir urus dan memperkukuh integriti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, ketika menggulung rang undang-undang itu berkata, tempoh jawatan anggota SPAN akan dipendekkan daripada 10 tahun kepada enam tahun selaras dengan suruhanjaya lain yang turut melaksanakan langkah sama.

Beliau berkata, ia termasuk Suruhanjaya Tenaga Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

"Kita merasakan ada cukup kepakaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk kita panggil terlibat dalam (industri) air sebab industri ini sangat dinamik dan banyak berubah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!