Kegagalan pembangkang lahirkan pemikiran melampau dalam kalangan pengikut

Amidi Abdul Manan
Amidi Abdul Manan
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan parti pembangkang dalam menjadi teladan yang baik (uswah hasanah) melahirkan pemikiran melampau (ghuluw) dari kalangan pengikut sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

Pengerusi Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mahukan pembangkang memperbaiki akhlak mereka sendiri agar dihormati oleh orang ramai termasuk penyokong mereka.

“Maka atas tanggungjawab memelihara akhlak, rundingan diperlukan antara pembangkang dan wakil kerajaan yang telah ditetapkan.

“Gelaran ejen zionis, peliwat dan terbaru dajal diberikan kepada Perdana Menteri ke-10. Itu belum lagi fitnah demi fitnah yang dilemparkan sehingga mempengaruhi penyokong begitu berani mengeluarkan ugutan bunuh kepada beliau,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar Amidi, selain akhlak baik, pembangkang juga diminta supaya mendisiplinkan dan menegur penyokong mereka agar tidak terus menerus memfitnah dan mencerca pihak lawan.

Menurutnya, Perdana Menteri tidak meminta agar ‘dijilat’ bagi memastikan peruntukan ahli Parlimen pembangkang disalurkan, sebaliknya hanya memberi fokus ke arah keutamaan kepada menjamin kesejahteraan iklim politik negara.

“Jika dulu Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, imbalan kepada penyaluran sebahagian Dana Pembangunan Kawasan (CDF) melalui pejabat ahli Parlimen adalah bagi pembangkang menghentikan usaha menggugat kestabilan kerajaan, yang ketika itu hanya mempunyai majoriti tipis.

“Ia bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat. Permintaan Perdana Menteri kesembilan ketika itu diraikan dan dipersetujui oleh ahli Parlimen pembangkang.

Artikel Berkaitan:

“Hasilnya dapatlah kerajaan Keluarga Malaysia berdiri sehingga dibubarkan sendiri oleh beliau,” ujarnya.