Lelaki maut, kepala pecah dilanggar lari

Seorang penunggang motosikal maut dan kepalanya pecah selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari. - Foto Ihsan PDRM
Seorang penunggang motosikal maut dan kepalanya pecah selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang penunggang motosikal maut dan kepalanya pecah selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari di Jalan Pangkalan Lebai Man-Sungai Petani, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini identiti penunggang motosikal terbabit belum diketahui disebabkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 7.50 petang membabitkan kemalangan sebuah motosikal jenis Suzuki dan sebuah kenderaan yang tidak pasti.



"Kemalangan dipercayai berlaku apabila, motosikal terbabit sedang bergerak dari arah Taman Sri Wang menghala ke arah Kampung Raja dan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Akibat daripada itu, motosikal terbabit bertembung dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti, dan sebaik pelanggaran, pemandu kereta itu bertindak melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zaidy berkata, impak pelanggaran yang kuat itu menyebabkan penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan bagi mengesan pemilik kenderaan yang melarikan diri terbabit. - Awani.