24 terkorban akibat kilat, hujan di Gujarat India

Gambar hiasan -123RF
Gambar hiasan -123RF
A
A
A

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera akibat insiden berkaitan petir dan hujan di negeri Gujarat di barat India dalam tempoh 48 jam lepas, menurut pegawai pada Isnin.

Hujan tidak bermusim yang melanda 234 daerah itu turut menyebabkan 71 haiwan mati selain merosakan tanaman, lapor Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai.

Menurut pegawai, kematian dilaporkan di 16 daerah di negeri ini, antaranya di Dahod, Bharuch, Banaskantha, Amreli, Surendranagar dan Mehsana.

Beberapa daerah menerima taburan hujan sehingga 144 milimeter dengan Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat di Gujerat disertai angin kencang dan kilat.

Amaran jingga dikeluarkan di selatan Gujerat manakala amaran kuning diisytiharkan di Saurashtra.

Media tempatan yang memetik data Kementerian Sains Bumi melaporkan 907 orang terbunuh pada 2022 akibat dipanah petir di seluruh India. - Bernama

Artikel Berkaitan: