Pasangan warga emas disamun sekumpulan lelaki berparang

Pasangan suami isteri warga emas disamun sekumpulan lelaki berparang serta bertopeng dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Chi Liung, Klang pada 18 November lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Hoong Fong)
Pasangan suami isteri warga emas disamun sekumpulan lelaki berparang serta bertopeng dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Chi Liung, Klang pada 18 November lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Hoong Fong)
A
A
A

KLANG - Pasangan suami isteri warga emas menempuh detik mencemaskan apabila disamun sekumpulan lelaki berparang serta bertopeng dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Chi Liung dekat sini 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, rumah didiami mangsa dipecah masuk beberapa individu.

"Mangsa wanita berumur 61 tahun yang sedang tidur terdengar bunyi ketukan kuat pada bahagian pintu. Mangsa kemudian membuka pintu biliknya sebelum mendapati beberapa individu bertopeng dan bersenjatakan parang di dalam rumahnya.

"Suspek terlibat kemudian mengikat tangan mangsa serta mengambil beberapa barangan kemas milik mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, suami mangsa yang pulang ke rumah tidak beberapa lama kemudian itu turut disamun suspek.

"Kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian.

"Siasatan polis mendapati antara barangan dipercayai disamun suspek termasuk telefon bimbit, wang tunai dan beberapa dokumen penting dengan anggaran kerugian keseluruhan bernilai RM2,000," katanya.

Menurutnya, siasatan berdasarkan laporan diterima kemudian membawa kepada tangkapan tujuh lelaki dipercayai terlibat dalam jenayah samun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan dijalankan sepasukan anggota polis Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sebuah rumah di Jalan Hong Huat, Klang kira-kira jam 4.15 pagi.

"Tujuh suspek lelaki berumur antara 24 hingga 45 tahun diberkas ketika serbuan berkenaan selain beberapa barangan turut dirampas bagi siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya.

Hoong Fong berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa suspek dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes samun ini dan tiga lagi suspek sedang dikesan bagi siasatan lanjut berhubung kes ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.