23 individu ditahan, penyokong Perak, Selangor bergaduh

Antara individu yang mengalami kecederaan susulan kekecohan melibatkan penyokong selepas perlawanan melibatkan Selangor FC dan Perak FC pada Sabtu. - Foto: Facebook (Gambar kecil: Hussein)
Antara individu yang mengalami kecederaan susulan kekecohan melibatkan penyokong selepas perlawanan melibatkan Selangor FC dan Perak FC pada Sabtu. - Foto: Facebook (Gambar kecil: Hussein)
A
A
A

SEPANG - Seramai 23 individu diberkas dalam insiden pergaduhan melibatkan penyokong Perak dan Selangor di pekarangan luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sebelum itu mengesan satu kekecohan melibatkan beberapa individu kira-kira jam 4.30 petang di bahagian kawasan parkir stadium berkenaan.

"Berlaku kejadian beberapa individu dipukul serta empat buah kenderaan dirosakkan ketika kekecohan berlaku.

"Siasatan lanjut dijalankan kemudiannya mendapati mereka yang terlibat ini menaiki dua buah bas sebelum kedua bas ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sepang pada Ahad.

Menurutnya, siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan 23 individu dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.

"Kesemua suspek yang ditahan ini berumur antara 16 hingga 36 tahun selain beberapa individu didapati positif dadah menerusi saringan air kencing yang dijalankan.

"Selain itu, semakan dijalankan mendapati empat daripada 23 suspek yang diberkas memiliki beberapa rekod lampau melibatkan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hussein berkata, beberapa individu lain sedang dikesan bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.

"Setakat ini siasatan turut dijalankan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup(CCTV) sekitar lokasi kejadian bagi mendapatkan punca sebenar kejadian.

"Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti dalang terlibat dalam insiden pergaduhan ini dan mereka ini kita sedang kesan bagi bantu siasatan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada Sabtu, suasana aman di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya dicemari pergaduhan melibatkan beberapa individu.

Kejadian dipercayai berlaku selepas perlawanan melibatkan Selangor FC dan Perak FC di stadium berkenaan.