Jawatankuasa usahawan diwujud, noktahkan kemiskinan

Saraswathy menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC, Putrajaya.
Saraswathy menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menubuhkan jawatankuasa usahawan di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Saraswathy Kandasamy berkata, projek rintis penubuhan jawatankuasa itu akan dimulakan di Ampang dan perbincangan telah dibuat beliau bersama Ahli Parlimennya, Rodziah Ismail.

Tegas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, langkah itu juga untuk membolehkan PKR menebus semula keyakinan rakyat di kawasan parti itu kalah pada pilihan raya sebelum ini.

"Ini adalah tanggungjawab kita sebagai menteri atau pun timbalan menteri untuk membawa segala usaha dan inisiatif kerajaan ke Parlimen dan DUN supaya kita boleh menebus semula keyakinan rakyat di tempat-tempat kita telah hilang kerusi sebelum ini.

"Jadi hasrat saya seperti mana saya telah bincangkan dengan wakil rakyat, selepas kita laksanakan program rintis di Ampang ia akan akan diperluaskan ke semua Parlimen dan DUN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada petang Ahad.

Mengulas lanjut, Saraswathy berharap, menerusi penubuhan jawatankuasa usahawan itu segala hasrat, inisatif dan polisi kerajaan dapat dibawa kepada rakyat.

"Ia supaya rakyat boleh memupuk keyakinan terhadap pemerintahan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga salah satu cara kita boleh menjalin hubungan erat dengan rakyat," tambah beliau.

Jelasnya, komunikasi yang berkesan perlu dibuat sekiranya kerajaan benar-benar mahu menoktahkan kemiskinan di Malaysia.

"Kalau tumpuan kita untuk menoktahkan kemiskinan, kita perlu cari jalan untuk sampaikan maklumat ke peringkat pimpinan akar umbi supaya mereka boleh bawa kepada rakyat di kawasan mereka," ujarnya.