JDT tidak goyang di Gambang

Aksi menarik JDT B-15 menentang Sime Darby dalam perlawanan Kumpulan B Piala Pra U 2023 di Gambang, Kuantan. - Foto Sukan IPT
Aksi menarik JDT B-15 menentang Sime Darby dalam perlawanan Kumpulan B Piala Pra U 2023 di Gambang, Kuantan. - Foto Sukan IPT
A
A
A

PASUKAN Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Bawah 15 tahun (B-15) berjaya menampilkan momentum positif ketika menyingkap saingan Piala Pra U 2023 di padang Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Skuad muda Harimau Selatan beraksi dengan sembilan pemain berkongsi satu mata ketika seri 1-1 berdepan Akademi Bolasepak Sime Darby dalam perlawanan Kumpulan B.

Dalam perlawanan di padang 7 itu, akademi dari selatan tanah air tersebut terpaksa beraksi 10 pemain selepas Qhairul Muheymeim dilayangkan kad merah dua minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan dalam usaha memecah kebuntuan jaringan.

Harimau Selatan akhirnya berjaya memimpin permainan hasil jaringan daripada Haziq Aziz Ahyok pada minit ke-50.

Bagaimanapun Harimau Selatan sekali terpaksa bermain sembilan pemain selepas Muhammad Amar Imran dibuang padang setelah menerima kad kuning keduanya pada minit ke-53.

Sime Darby memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu menggandakan asakan yang akhirnya berjaya menjelmakan jaringan penyamaan menerusi Adam Harris Nazarudin pada minit ke-68.

Sementara itu, pengendali JDT B-15, Muhamad Adibf Md Shariff berkata, pemain-pemain muda Harimau Selatan memberi saingan yang cukup baik walaupun terpaksa bermain sembilan pemain sepanjang 40 minit baki perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Sejujurnya pasukan kami agak sukar untuk mencipta peluang jaringan dengan kekurangan dua pemain berbanding pihak lawan.

"Kami cuba mengatasi pihak lawan dengan serangan pantas dan mengubah taktikal permainan selepas kehilangan pemain setiap babak.

"Alhamdulillah, syukur pemain-pemain JDT dapat segera mengadaptasi perubahan taktikal dilakukan, malah mencipta beberapa peluang jaringan walaupun kekerapan semakin berkurang," katanya.

Mengulas persediaan berdepan Malaysia University Football Team (MUFT), tanpa dua pemain yang digantung akibat kad merah, Muhamad Adibf percaya dengan kemampuan para pemain mudanya yang terpilih untuk cabaran Piala Pra U kali ini.

"Tiada yang datang untuk menjadi pelengkap pasukan dan kejuaraan ini merupakan pentas persediaan Liga Super KPM B-17, tahun depan.

"Kebanyakan pemain saya berumur 15 tahun dan saya tahu kemampuan mereka sepanjang Liga Premier KPM B-17. Ini adalah pengalaman dan bekalan ilmu yang sangat berharga untuk mereka kerana bersaing dengan kumpulan umur yang sangat kompetitif.

"Hasilnya bukan sekarang, tetapi di masa depan apabila mereka graduasi dari akademi dengan ilmu dan didikan yang baik," katanya.