Selangor tiada masalah benam Perak

Shahrul Nazeem meraikan jaringannya ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium MBPJ sebentar tadi.
- Foto FB Selangor FC
Shahrul Nazeem meraikan jaringannya ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium MBPJ sebentar tadi. - Foto FB Selangor FC
A
A
A

SELANGOR FC mengukuhkan cengkaman di tangga kedua Liga Super selepas melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, The Red Giants bermula garang apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar hasil sepakan penjuru Yohandry Orozco.

Selangor terus bersemangat menambah jaringan sebelum Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya merobek gawang Perak selepas menyudahkan hantaran Ayron Del Valle dalam kotak penalti pada minit ke-30.

Pada babak kedua, Selangor dilihat terus rancak melancarkan serangan bertali arus ke kubu The Bos Gaurus menerusi gandingan Orozco dan tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim.

Hasilnya, Orozco berjaya menewaskan penjaga gawang Perak FC, T Shaheeswaran Thavakumar menerusi satu rembatan kencang pada minit ke-72.

Tujuh minit berselang, Selangor terus berpesta apabila Ayron pula menggegar gawang Perak bagi menoktahkan kemenangan Red Giants di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Selepas 24 perlawanan, Selangor kini merekodkan 55 mata untuk terus kekal berada di tangga kedua Liga Super, sekali gus berpeluang cerah melayakkan diri ke pentas Piala AFC musim depan.

Artikel Berkaitan: