Tarik wanita kembali bekerja

Hampir 30 hingga 40 peratus wanita akan berhenti kerja terutamanya selepas mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak. - Foto123RF
Hampir 30 hingga 40 peratus wanita akan berhenti kerja terutamanya selepas mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak. - Foto123RF
A
A
A

MENIKMATI sekeping roti canai dan secawan kopi di kedai makan pada waktu pagi sudah menjadi kelaziman penulis.

Sesekali hidangan itu ditukarkan kepada sebungkus nasi lemak atau bihun goreng bersama teh tarik.

Suasana waktu pagi di kebanyakan kedai minum atau restoran terutamanya di kawasan perumahan turut dikunjungi ramai warga emas sama ada bersama pasangan atau rakan-rakan.

Tidak kurang juga, wanita muda turut melayan ibu bapa yang telah tua sambil menikmati hidangan masing-masing.

Timbul dalam pemikiran, adakah wanita muda ini terpaksa mengorbankan kerjaya demi menjaga ibu bapa sedangkan mereka tenaga kerja yang ditagih kerajaan bagi memacu ekonomi negara.

Masalah ini perlu menjadi tumpuan kerajaan kerana jika tidak dibendung, angka wanita muda yang berhenti kerja awal dikhuatiri terus meningkat saban tahun.

Tambahan pula, kumpulan penduduk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas direkodkan sebanyak 3.4 juta atau 10.4 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam rekod Banci Malaysia 2020.

Populasi perempuan di Malaysia pada tahun 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ini membuktikan faktor warga emas bertambah antara penyumbang utama wanita bekerja berhenti demi menjaga ibu bapa mereka terutama yang telah lanjut usia.

Pada masa sama, ramai juga wanita ingin masuk ke sektor pekerjaan, namun hampir 30 hingga 40 peratus akan berhenti kerja terutamanya selepas mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak.

Bagaimanapun, kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2021 adalah 55.6 peratus sahaja antara yang terendah di ASEAN.

Kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi, tetapi, bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah.

Wanita Malaysia juga lebih berpendidikan merangkumi 61 peratus daripada perwakilan badan pelajar di universiti pada 2021, namun kecemerlangan mereka dalam pendidikan ini tidak diterjemahkan kepada penyertaan yang lebih besar dalam tenaga kerja.

Justeru, pengumuman Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mewujudkan pusat jagaan warga emas di fasiliti kerajaan tahun depan dilihat mampu menarik penglibatan wanita kembali ke sektor pekerjaan.

Lebih menarik, pusat jagaan warga emas itu hanya mengenakan caj perkhidmatan penjagaan pada kadar minimum.

Menurut menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, usaha tersebut bagi meringankan beban penjawat awam terutama golongan wanita yang bergelut dengan kerja dan pada masa sama mahu menjaga orang tua.

Ia merupakan inisiatif kerajaan untuk membawa wanita yang telah berhenti kerja demi menjaga orang tua, untuk kembali sebagai tenaga kerja.

Beliau berkata, ia penting untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 59 peratus menjelang 2025 seperti yang disasarkan oleh KPWKM.

Justeru, untuk mencapai peratusan itu, kerajaan perlu memainkan peranan dengan memastikan adanya pusat jagaan kanak-kanak atau warga emas kerana golongan wanita berkemungkinan mempunyai ibu bapa yang perlu dijaga.

Jelas Nancy, negara amat memerlukan wanita untuk kembali bekerja.

Usaha kerajaan tersebut perlu disambut sektor swasta dengan turut serta menyediakan kemudahan penjagaan warga emas pada kos berpatutan.

Kemudahan itu kelak pasti memberi banyak kelegaan kepada kaum wanita bekerjaya sekali gus dapat mengelakkan mereka berhenti kerja.

Selain itu, ia juga dapat menarik kembali golongan wanita yang telah berhenti untuk kembali ke sektor pekerjaan sekali gus dapat menyumbang ke arah pembangunan ekonomi dan negara.

*Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Sinar Harian