PM mahu mutu penguasaan Bahasa Inggeris pelajar ditingkatkan mulai 2024

Anwar menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Madani hari ini. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Madani hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mutu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu ditingkatkan mulai tahun hadapan namun Bahasa Melayu perlu dikuasai tanpa tolak ansur, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani di sini malam ini, beliau berkata, usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris perlu dilaksanakan segera kerana negara maju memberi penekanan kepada soal dwibahasa.

"Bicara mutu pendidikan, Bahasa Melayu adalah bahasa utama dan mesti dikuasai tanpa tolak ansur oleh semua pelajar tetapi kita harus cuba memikirkan kaedah baharu untuk meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris

"Jadi mulai tahun depan, mutu penguasaan Bahasa Inggeris harus ditingkatkan selain daripada mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu,” katanya.

Anwar berharap usaha kerajaan untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini tidak dipertikaikan.

"Kalau nak negara ini terangkat keupayaan ekonomi dan kemajuannya, Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu, bahasa utama dan dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia termasuk di sekolah swasta dan antarabangsa.

Semua anak kita terutama di sekolah kebangsaan mesti ditekankan penambahan supaya penguasaan Bahasa Inggeris jauh lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kepakaran dan latihan untuk golongan muda perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan syarikat antarabangsa yang melabur di negara ini contohnya syarikat semikonduktor Infineon Technologies (Infineon) AG dari Jerman yang memutuskan untuk melabur RM25 bilion di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Maknanya kita harus latih anak kita yang lulusan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Volasional) dan jurutera dan lain-lain dalam bidang matematik, sains, teknologi, digital supaya dapat memenuhi keperluan syarikat itu. Kalau tidak dia akan ambil kepakaran daripada negara asing,” katanya.

Infineon mengumumkan perancangan untuk meningkatkan kemudahannya di Kulim, Kedah bagi membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sebanyak lima bilion euro bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sejak lima dekad lepas, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka. - Bernama