MPK bakal bergelar bandar raya

Noraini (dua kanan) bersama Ahli Majlis MPK memotong riben sebagai simbolik pada Majlis Perasmian Sudut Perpustakaan Mini, Pangsapuri Cempaka, Bandar Baru Klang di Klang pada Rabu.
Noraini (dua kanan) bersama Ahli Majlis MPK memotong riben sebagai simbolik pada Majlis Perasmian Sudut Perpustakaan Mini, Pangsapuri Cempaka, Bandar Baru Klang di Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Kerajaan Persekutuan bersetuju cadangan menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kelulusan itu dipersetujui menerusi hasil Mesyuarat Jemaah Menteri selepas MPK memiliki kekuatan kewangan mampan bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran cekap dan bertaraf antarabangsa selain meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat daerah ini.

Menurut beliau, MPK akan menjadi bandar raya keempat di Selangor selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Melalui visi Klang Bandaraya Diraja dan Warisan yang Mampan, MPK sentiasa komited dan berusaha untuk menerapkan elemen bandar rendah karbon dan pelaksanaan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) melalui pelbagai cara termasuk menganjurkan pertandingan berunsurkan pendidikan dan rasa cintakan alam sekitar melibatkan segenap lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sudut Perpustakaan Mini, Pangsapuri Cempaka, Bandar Baru Klang di sini pada Rabu.

Noraini memberitahu, pertandingan menyediakan ruang sudut perpustakaan mini pada peringkat permulaan ini dilaksanakan di bangunan-bangunan strata di dalam kawasan pentadbiran Majlis dan akan dikembangkan dari semasa ke semasa.

"Ia bertemakan kitar semula buku-buku terpakai dengan membuat pengumpulan semula buku terpakai daripada sumbangan pihak persendirian, agensi-agensi atau pihak swasta.

"Buku -buku yang disumbangkan perlu di dalam keadaan baik untuk digunakan semula dan semua jenis buku bacaan yang bersesuaian dengan semua peringkat umur adalah diterima," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, pertandingan penyediaan sudut perpustakaan mini itu juga dapat memberi kemudahan dan galakan kepada orang ramai untuk memahami konsep dan mengamalkan amalan kitar semula.

Jelas beliau, perpustakaan juga boleh memupuk rasa cinta dan menitikberatkan ilmu pengetahuan dengan amalan membaca serta membentuk budaya mencintai ilmu dan mencelikkan minda masyarakat.

"Ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup dan melahirkan masyarakat yang tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan serta penjagaan alam sekitar," ujarnya.