Subahat tipu projek Mayang Mall, dua bekas pengurus didenda RM30,000

Khairul Anuar hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu, bagi menghadapi tiga pertuduhan bersubahat untuk menipu PHB berhubung bayaran tuntutan lebih RM1.2 juta. - Gambar fail
Khairul Anuar hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu, bagi menghadapi tiga pertuduhan bersubahat untuk menipu PHB berhubung bayaran tuntutan lebih RM1.2 juta. - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memberi peluang terakhir kepada bekas pengurus besar di syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan seorang lagi tertuduh, supaya tidak mengulangi kesalahan bersubahat untuk menipu berkaitan projek pembinaan pusat beli belah Mayang Mall, Terengganu, hampir tiga tahun lalu.

Hakim, Rozina Ayob berkata demikian sebelum menjatuhi hukuman denda masing-masing RM30,000 kepada Khairul Anuar Abd Samad, 49, dan bekas pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis (M) Sdn Bhd, Rosliza Lah, 47, selepas dua tertuduh itu menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan pertama yang dipertuduhkan sebelum ini.

"Tiada lagi peluang kepada kamu berdua, mahkamah berharap kamu (Khairul Anuar) mendapat pengajaran dan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga kerana kamu penanggung tunggal,'' kata hakim itu.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 30 hari, jika gagal membayarnya.

Menurut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa bersubahat dengan Mohd Azhari Che Omar, 44, yang ketika itu Perunding PHB untuk menipu majikan mereka dengan membantunya menandatangani kelulusan pembayaran tuntutan oleh Syarikat Gafis sebanyak RM708,000.

Perbuatannya mendorong PHB membuat pembayaran yang dituntut oleh Syarikat Gafis pada 9 Disember 2020 berkaitan kerja-kerja menyiapkan projek pusat membeli belah tujuh tingkat di Terengganu.

Tuntutan itu merupakan pembayaran melibatkan kerja-kerja dalam projek `Cadangan Membina Dan Menyiapkan Pembangunan Bercampur Fasa 1' untuk pusat beli belah tujuh tingkat di Terengganu yang mana ia tidak akan dibayar jika PHB mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak pernah dijalankan.

Perbuatan didakwa dilakukan di PHB, Saujana Resort, Section U2, Shah Alam dekat sini antara 1 Disember hingga 9 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan terhadap Rosliza pula, wanita itu didakwa bersubahat dengan Mohd Azhari, untuk membantu lelaki itu menyediakan dokumen untuk menipu PHB dengan memperakukan bahawa Syarikat Gafis layak mendapat pembayaran tuntutan berkala bagi jumlah serupa walhal kerja-kerja pembinaan projek tidak dijalankan.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 November 2020 di Pejabat YHS Associates Sdn Bhd di Pandan Jaya di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Mohd Azhari turut didakwa pada 15 November 2022 atas tiga pertuduhan menipu PHB berhubung bayaran tuntutan melebihi RM1.2 juta bagi kerja-kerja pembinaan Mayang Mall yang tidak pernah dilakukan.

Tuntutan RM1.2 juta itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan tuntutan bernilai hampir RM46 juta.

Sementara itu, semasa prosiding, peguam, Mohd Fikah Sanusi memberitahu mahkamah, kedua-dua anak guamnya mengemukakan permohonan rundingan bagi pengakuan bersalah, agar mahkamah mengambil kira dua pertuduhan lain yang dihadapi mereka.

Katanya, Khairul Anuar dan Rosliza tidak mempunyai rekod jenayah, telah menyesal dan memohon maaf kepada semua pihak atas kesalahan yang dilakukan.

"Mereka tidak mendapat sebarang imbuhan atau pulangan daripada perbuatan itu,'' katanya.

Sementara itu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fadhly Mohd Zamri dan Aznika Mohd Anas bersetuju, agar denda RM30,000 dikenakan terhadap kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan pasport dua tertuduh yang ditahan sebagai syarat jaminan dikembalikan.

Artikel berkaitan: Pengurus besar tidak mengaku subahat tipu tuntutan RM1.2 juta