Tuntutan kerajaan tidak pernah 'dibuat orang' - Ahmad Amzad

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim mendakwa tuntutan kerajaan agar pembangkang menyatakan taat setia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima peruntukan ahli Parlimen adalah sesuatu yang ‘tidak pernah dibuat orang’.

Beliau mendakwa, kerajaan meletakkan syarat itu menerusi hasil perbincangan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak.

“Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sudah beberapa kali berjumpa (kerajaan) tetapi kalau (mereka) letakkan syarat kita mestilah (buat) aku janji atau taat setia kepada Perdana Menteri sampai akhir penggal, (ia) tidak pernah dibuat orang.

“Kerajaan mestilah menghormati konsep demokrasi dalam Parlimen. Apabila seorang Perdana Menteri tidak mendapat dukungan terbanyak, dia (sepatutnya) tidak boleh (mentadbir),” katanya dalam Wacana Sinar Siri 421 bertajuk ‘Kemaman kubu kuat siapa?’ pada Selasa.

Dari kiri, Ismail Adnan, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi dan Penganalisis Politik, Dr Muhammad Taufik Yaakub dalam Wacana Siri 421 bertajuk ‘Kemaman kubu kuat siapa?’
Dari kiri, Ismail Adnan, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi dan Penganalisis Politik, Dr Muhammad Taufik Yaakub dalam Wacana Siri 421 bertajuk ‘Kemaman kubu kuat siapa?’

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Penganalisis Politik, Dr Muhammad Taufik Yaakub dan Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkenaan berkata, taat setia kepada Perdana Menteri juga tidak boleh diberikan kerana pembangkang tidak dapat menjangkakan situasi yang bakal berlaku pada masa depan.

Katanya, situasi yang berlaku ketika ini berbeza semasa pentadbiran kerajaan PN kerana waktu itu peruntukan yang diberikan kepada semua ahli Parlimen adalah secara adil.

Artikel Berkaitan:

“Ketika kita menjadi kerajaan, peruntukan telah diberi secara sama rata termasuk kepada pembangkang.

“Pada ketika itu, kita duduk bersama dan berbincang supaya apa yang menjadi kepentingan seluruh rakyat (diberi keutamaan), misalnya (soal) belanjawan. Kalau belanjawan ‘tersangkut’, tidak dapat diluluskan, yang mendapat tempias ialah rakyat,” ujarnya.

Justeru, Ahmad Amzad menggesa kerajaan supaya memperkukuhkan urus tadbir dan tata kelola yang baik.

“Kembali pada konsep asas bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pakatan Harapan (PH) sebelum ini (yang) bercakap mengenai reformasi, memperkukuhkan urus tadbir, tata kelola yang baik.

“Jadi sudah tentu ia termasuk dalam menghormati hak yang sepatutnya diberikan kepada ahli Parlimen,” tambahnya.