Walaupun mereka dibayar, pembantu rumah juga perlu dihormati

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KALAULAH seseorang pembantu rumah itu berkebolehan menulis cerpen, Merak Jalanan percaya mereka pasti akan mencoret pengalaman hariannya bekerja di rumah majikan.

Baru-baru ini, Merak Jalanan mendengar keluhan seorang pembantu rumah separuh masa.

Akma bukanlah warga asing, tetapi rakyat tempatan yang memang lahir di negara ini.

Apa yang diceritakan Akma ialah bagaimana layanan majikan terhadap pembantu rumah, seolah-olah mereka dipandang sebelah mata.

Walaupun mengakui kerja mengemas dan membersihkan rumah orang tidak popular oleh sesetengah orang, namun demi mencari rezeki halal, dia tetap meneruskannya walaupun sering kali dimarahi majikan.

Menceritakan pengalaman, Akma berkata, dia pernah menahan sabar kerana penat membersihkan ruang tamu rumah, dalam masa sama majikannya sekeluarga yang baru selesai menjamu selera sengaja membiarkan pinggan mangkuk dan sisa makanan berselerak di atas meja makan.

Bagi mereka, pembantu rumah mengemasnya.

Lebih mengecewakan, Akma pernah diminta mengemas bilik majikannya.

Artikel Berkaitan:

Tapi tanpa segan silu majikannya membiarkan pakaian dalam suami isteri berteraburan di atas lantai bilik tidur.

Mungkin kerana beranggapan ada pembantu rumah akan mengemasnya.

Merak Jalanan sebenarnya kagum dengan ketabahan Akma melaksanakan tugasnya.

Mungkin kaca pintu dan dinding rumah menjadi pemisah darjat di antara dua insan ini, namun ruang yang ada di antara mereka ialah untuk saling menghormati dan menyayangi.

Bagi Merak Jalanan, walaupun mereka dibayar gaji, pembantu rumah juga manusia yang perlu dihormati.

Mereka bukan sekadar pembersih domestik, tetapi manusia yang ada perasaan dan harga diri.

Kerana mereka jugalah kehidupan seharian kita lebih mudah dan menyenangkan.