'Teliti keperibadian, bukan wang jadi keutamaan'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin berduit bukan jaminan untuk membantu rakyat keluar dari kepompong kesempitan.

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, mentaliti masyarakat perlu 'dicuci' bahawa menilai pemimpin itu bukan hanya dari segi kewangan dan harta tetapi juga kewibawaan serta kredibiliti supaya dapat memimpin dengan adil tanpa unsur negatif.

Menurutnya, amalan rasuah akan berterusan sekiranya rakyat mengetepikan individu berilmu dan beriman.

“Pilih mereka yang betul-betul layak.

"Teliti keperibadian mereka bukan wang yang harus diutamakan.

"Negara akan maju dan makmur apabila dipegang pemimpin berkaliber,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut katanya, rasuah dan suapan akan terus berlaku jika ramai menghalalkan perlakuan rasuah.

"Selain itu, individu terbabit juga terdesak untuk mencapai impian menjadi pemimpin sehingga ada sanggup menyogok atas alasan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tidak berasa takut melakukannya kerana mungkin iman kurang di dada, cuma hanya memikirkan duit boleh menyelesaikan segala-gala walaupun perkara itu salah,” ujarnya

Pada Isnin, dua individu yang pernah memegang jawatan besar dalam negeri Kedah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan meminta rasuah dan menerima suapan mencecah ratusan ribu dan juta ringgit.