Dua lelaki tak mengaku jalan kegiatan judi dalam talian

Dari kanan: Teck Sing, Eng Seng dan Choon Seng (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
Dari kanan: Teck Sing, Eng Seng dan Choon Seng (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa atas pertuduhan menjalankan kegiatan judi dalam talian menggunakan komputer, dua minggu lalu.

Tertuduh, Koo Teck Sing, 24, dan Tan Eng Seng, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didapati menjalankan transaksi mesin judi secara dalam talian dengan menjalankan kegiatan judi dalam talian menggunakan tujuh set komputer.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi dan penjara tidak lebih lima tahun.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap tertuduh dan sebutan semula kes pada 19 Disember depan.

Tertuduh diwakili Peguam, Datuk Hanif Hassan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Kalaivaanan.

Selain itu, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didenda RM700 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain judi dalam talian berkomputer di sebuah rumah judi terbuka.

Artikel Berkaitan:

Kuek Choon Seng, 58, melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan kira-kira jam 4.30 petang di sebuah premis di Jalan Pusat Komersial Temiang Union, di sini pada 9 November lalu.