Selangor selaras semula garis panduan pusat asuhan, taska

Anfal
Anfal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan menyelaraskan semula garis panduan pematuhan penubuhan pusat asuhan atau taska bagi mengelak kejadian kemalangan atau kematian akibat kecuaian pengasuh.

Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfal Saari, penyelesaian terhadap isu tersebut juga merangkumi sesi libat urus bersama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di peringkat negeri.

Jelasnya, proses pemutihan taska tidak berdaftar juga dilaksanakan secara berterusan kerana kerajaan negeri tidak mahu bertindak secara menghukum tetapi lebih kepada advokasi kepada taska supaya membuat pendaftaran.

“Sesi libat urus bersama pemegang taruh seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahcarakan dan memastikan semua pengusaha mematuhi syarat contohnya upskilling pengasuh dan juga menyediakan lokasi strategik dan patuh dari segi keselamatan untuk anak-anak yang dihantar ke taska,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh (PN) berhubung insiden kemalangan dan kematian bayi serta kanak-kanak di pusat asuhan Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023.

Sebelum itu, Anfal yang juga ADUN Taman Templer (PH) ketika menjawab pertanyaan ADUN Teratai, Yew Jia Haur berhubung galakan bagi majikan untuk menyediakan taska memaklumkan kerajaan negeri menyediakan insentif khas bagi perkhidmatan asuhan menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS1).

Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan dua strategi iaitu menyediakan sokongan yang diperlukan oleh wanita bekerja iaitu pusat jagaan kanak-kanak selamat, boleh dipercayai dan terletak di kawasan strategik serta meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.

Jelasnya, kerajaan negeri dalam perancangan untuk memberikan insentif kepada majikan yang menyediakan pusat pengasuhan atau pendidikan awal kanak-kanak di tempat kerja atau di kawasan yang strategik yang mempunyai permintaan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tambahnya, kerajaan negeri menetapkan sasaran jangka panjang iaitu berkolaborasi dengan majikan di Selangor bagi mewujudkan dua taska dan dua tadika di setiap daerah.