Lebih 5,000 banjiri Masjid Sultan Iskandar demi Palestin

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir ke Majlis Yassin, Tahlil dan Solat Hajat Bangsa Johor untuk Palestin di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn , Johor Bharu hari ini. - Foto aplikasi X Bernama
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir ke Majlis Yassin, Tahlil dan Solat Hajat Bangsa Johor untuk Palestin di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn , Johor Bharu hari ini. - Foto aplikasi X Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kira-kira 5,000 umat Islam membanjiri Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn di sini hari ini bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin menentang rejim Zionis.

Hadirin yang rata-ratanya berpakaian berwarna putih tiba seawal 3 petang dengan mengenakan mafla dan mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap warganya yang ditindas rejim Zionis itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pada perhimpunan itu bahawa kehadiran ramai penyokong biarpun dalam keadaan hujan rintik menunjukkan kesungguhan rakyat membela nasib rakyat Palestin supaya didengari semua pihak termasuk di peringkat antarabangsa.

"Tujuan kita berkumpul hari ini, bangsa Johor untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap saudara seagama kita di bumi Palestin.

"Kita menuntut kepada pemimpin dunia agar hak asasi kemanusiaan diberikan kembali kepada mereka dan kita menuntut supaya maruah kedaulatan bumi Palestin diberi kembali dan kita tuntut kezaliman, pembunuhan kejam diberhentikan serta-merta.

"Saya dimaklumkan dua hari lepas salah seorang pelajar tidak ke majlis konvokesyen kerana pada hari itu 44 ahli keluarganya terkorban di bumi Palestin dan inilah ujian terpaksa mereka hadapi di mana mereka tidak tahu apa yang akan berlaku kepada keluarga mereka," katanya.

Selain daripada perhimpunan itu, para hadirin turut meluangkan masa untuk membaca Surah Yassin, bertahlil dan menunaikan solat fardu dan hajat di masjid itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid; bekas-bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad dan Datuk Dr Sahruddin Jamal serta penyanyi rock terkenal, Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis itu, Onn Hafiz turut menyerahkan replika cek lebih RM2.5 juta untuk disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Kementerian Luar Malaysia hasil daripada kutipan di masjid dan surau seluruh negeri Johor, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza setakat ini mencatatkan angka lebih 12, 000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 8,300 wanita dan kanak-kanak manakala lebih 30,000 yang lain cedera. - Bernama