Tiada gerakan jatuhkan Kon Yeow

Anthony ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang yang diadakan di KOMTAR pada Ahad.
Anthony ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang yang diadakan di KOMTAR pada Ahad.
A
A
A

GEORGE TOWN - Tidak ada sebarang gerakan untuk menjatuhkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bagi menjawab desas-desus kononnya terdapat usaha menjatuhkan Kon Yeow sebelum ini selain menyifatkan perkara itu sebagai 'sampah'.

Menurutnya, beliau bersama Pengerusi DAP serta barisan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) memberi sokongan kepada Kon Yeow untuk terajui kerajaan negeri sehingga penggal depan selain mahu melihat lebih banyak kejayaan dalam pentadbiran ini.

"Saya secara tegas dan secara lantang mengatakan tidak ada gerakan untuk jatuhkan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Tidak ada dan tidak akan ada...Jadi saya nak beri tahu kepada saudara saudari jangan percaya khabar angin dan desas desus ini kerana tak ada gerakan nak menjatuhkan Kon Yeow," katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang, di sini pada Ahad.

Turut hadir dalam konvensyen berkenaan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng serta pimpinan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mengenai 'perang dingin' antara Kon Yeow dengan Guan Eng yang dikatakan berlaku sejak sebelum Pilihan Raya Negeri lalu.

Malah Kon Yeow sebelum ini pernah mendakwa terdapat plot yang diaturkan oleh ahli-ahli DAP untuk menjatuhkan beliau.

Artikel Berkaitan:

Isu antara mereka semakin menjadi tumpuan apabila media melaporkan terdapat kemungkinan Guan Eng akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya negeri yang lalu.

Dalam soal itu, Anthony berkata, kedudukan ketua menteri terjamin disebabkan Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan reformasi institusi dengan menghadkan jawatan ketua menteri selama dua penggal.

Beliau berkata, pastinya janji dan komitmen itu akan ditunaikan malah ia telah dibuktikan sebelum ini apabila jawatan ketua menteri yang disandang oleh Guan Eng telah bertukar kepada Kon Yeow.

Katanya, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang kini telah melaksanakan tugasnya dan masuk penggal kedua selepas Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan pentadbiran pada PRN lalu.

"Kita nak beliau laksanakan tugas hingga sampai akhir penggal, pada masa yang sama dalam beberapa tahun ini selain memperkuatkan asas yang telah pun dibina sejak 2008, satu tugas sangat penting kepada Kon Yeow untuk mempersiapkan pengganti beliau untuk PRU akan datang.

"Kita nak pastikan bukan sahaja pentadbiran kita akan terus kukuh malah kita mahu segala asas dibina dengan baik dapat diteruskan termasuk melihat DAP melahirkan ketua menteri yang ketiga pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Anthony berkata, selain memastikan kerajaan Pulau Pinang terus berjaya, namun pada masa apa sahaja kritikan dan perkara yang dibangkitkan oleh pihak luar mengenai isu urus tadbir mesti dijawab.

"Kita berani jawab kerana kita benar.. Tak ada apa-apa yang nak disorokkan.

"Beberapa hari lalu dalam pertemuan saya dengan Kon Yeow beliau beri komitmen apa sahaja soalan beliau sedia menjawab.

"Apa sahaja isu yang dibangkitkan dia akan jawab dalam platform sidang DUN yang akan bermula esok.

"Pada masa yang sama kalau dibuktikan mana-mana pegawai, mana-mana pihak yang terlibat dalam isu integriti atau apa-apa kesilapan, kelemahan dalam urus tadbir tindakan juga akan diambil untuk pastikan nama baik kerajaan negeri tidak tercemar," ujarnya.