Itali sedia ambil risiko

Itali optimis dengan corak menyerang untuk meraih tiket ke Euro dalam aksi menentang Ukraine pada Selasa. - Foto AFP
Itali optimis dengan corak menyerang untuk meraih tiket ke Euro dalam aksi menentang Ukraine pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

SKUAD Itali di bawah bimbingan Luciano Spalletti bertekad meneruskan corak permainan terbuka pada aksi menentang Ukraine dalam saingan Euro di Leverkusen pada Selasa.

Taktikal itu merupakan pertaruhan besar buat The Azzurri kerana jika kalah mereka berdepan risiko tersingkir daripada saingan Euro.

Itali membenam Macedonia Utara 5-2 pada Sabtu untuk memintas Ukraine di tempat kedua Kumpulan C.

The Azzurri hanya memerlukan keputusan seri untuk meraih slot automatik ke Euro 2024 di Jerman tahun depan.

“Kami lebih positif di bawah Spalletti apabila mengambil beberapa risiko di benteng pertahanan.

“Kami mahu bermain menentang Ukraine dengan mentaliti sama,” ujar penyerang Itali, Federico Chiesa.

Skuad Spalletti berjanji tidak akan menggunakan pendekatan bertahan seperti yang dilakukan Itali pada masa lalu.

Di sebalik jaringan besar ketika menang menentang Macedonia Utara, juara Eropah dua kali itu menempah bahaya untuk pasukan mereka.

Artikel Berkaitan:

Biarpun mendahului 3-0 pada separuh masa, Itali melepaskan dua gol pada separuh masa kedua kepada Jani Atanasov.

Dalam aksi itu, jaringan Itali dihasilkan menerusi sentuhan Matteo Darmian yang meledak pada minit ke-17, sebelum Federico Chiesa menyumbat dua gol pada penghujung babak pertama.

Itali kemudian menambah dua lagi gol menerusi Giacomo Raspadori dan Stephan El Shaarawy menuju 10 minit terakhir perlawanan.

Pendekatan menyerang adalah taktik tipikal Spalletti ketika membimbing Napoli musim lepas apabila mereka memenangi Scudetto buat kali pertama sejak zaman Diego Maradona.