Perancis 'naik minyak' belasah Gibraltar 14-0

Mbappe (tengah) meledak hatrik ketika membantu Perancis membelasah Gibraltar 14-0 dalam saingan Euro pada Ahad. - Foto EPA
Mbappe (tengah) meledak hatrik ketika membantu Perancis membelasah Gibraltar 14-0 dalam saingan Euro pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

PERANCIS melakar kemenangan terbesar dalam saingan Euro setelah membelasah Gibraltar yang beraksi 10 pemain 14-0 di laman sendiri awal pagi Ahad.

Penyerang sensasi, Kylian Mbappe meledak hatrik dan pemain muda berusia 17 tahun, Warren Zaire-Emery menyumbat gol pada penampilan sulungnya.

“Kami melakukan segala-galanya untuk mendapatkan jumlah jaringan ini. Itulah yang kami cari dalam pasukan ini,” ujar jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Perancis mengatasi kejayaan Jerman membenam San Marino 13-0 pada tahun 2006 bagi kemenangan terbesar mereka dalam perlawanan bola sepak antarabangsa.

Ia juga kali pertama satu pasukan Eropah menjaringkan 14 gol pada kelayakan Piala Dunia atau Kejohanan Eropah.

Dalam aksi itu, gol sendiri Ethan Santos dan Marcus Thuram terlebih dahulu membuka jaringan buat Perancis sebelum Zaire-Emery meledak gol pada minit ke-16.

Malang buat Gibraltar apabila Santos yang hanya 18 minit beraksi dilayangkan kad merah membolehkan finalis Piala Dunia itu kenduri gol.

Penalti Mbappe menjadikan kedudukan 4-0 dan Jonathan Clauss, Kingsley Coman dan Youssouf Fofana semuanya menjaringkan gol sebelum separuh masa.

Artikel Berkaitan:

Adrien Rabiot, Coman meledak sekali lagi dan Ousmane Dembele mengekalkan kedudukan sebelum Mbappe menjaringkan dua gol untuk melakar hatriknya dengan bergaya.

Kapten Perancis itu berjaya melepasi penjaga gol Gibraltar Dayle Coleing untuk mencatatkan gol ke-300 dalam kariernya pada usia hanya 24 tahun.

Olivier Giroud kemudian dimasukkan dari bangku simpanan turut berjaya menjaringkan dua gol terakhir dan memastikan sejarah baru dalam kempen kelayakan berjaya direkodkan.