Kelantan perkukuh 160 pangkalan hadapan hadapi banjir

Mohd Nassruddin (tengah) bersama jemputan terhormat dan penerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan 2023-2027 di Kota Bharu pada Ahad.
Mohd Nassruddin (tengah) bersama jemputan terhormat dan penerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan 2023-2027 di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sudah memperkukuhkan 160 pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi banjir susulan amaran hujan berterusan tahap buruk yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bermula Ahad.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, pada masa sama ia turut melibatkan 16 buah stor bencana serta sebuah depot simpanan keperluan bencana (DSKB).

"Selain itu sebanyak 70 pembekal barangan keperluan bencana dan 108 pembekal pek makanan siap masak juga telah dilantik di semua jajahan.

"Dari segi persediaan sumber tenaga kerja, aset dan peralatan, seramai 7,147 anggota atau petugas yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis, Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 agensi lain akan digerakkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan 2023-2027 di sini pada Ahad.

Rohani (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Nassuruddin yang hadir merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan 2023-2027 di Kota Bharu pada Ahad.
Rohani (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Nassuruddin yang hadir merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan 2023-2027 di Kota Bharu pada Ahad.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Mohd Nassruddin Daud.

Menurut beliau, selain itu, sebanyak 19,537 pelbagai aset seperti kenderaan, jentera, bot, khemah, genset dan peralatan-peralatan lain sudah diselenggara bagi memastikan semua berada pada tahap terbaik.

Ujarnya, sebanyak 456 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan jumlah kapasiti 191,169 orang telah dikenal pasti dan bersedia untuk dibuka sekiranya berlaku bencana banjir.

Artikel Berkaitan:

Rohani memberitahu, setiap jajahan juga telah diminta untuk membaik pulih PPS aktif yang telah dikenal pasti dan memerlukan pembaikan.

Tambah beliau, pada masa ini kerja-kerja pembaikan di 119 PPS sedang giat dilaksanakan yang dijadualkan siap sebelum akhir November 2023 dengan kos lebih kurang RM2.5 juta yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).