Tak pasal-pasal rugi RM13,000!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Akibat panik dikaitkan dengan kes pengedaran dadah, seorang lelaki sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat perbankan internet kepada lelaki tidak dikenali sehingga mengalami kerugian RM13,618, semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu yang menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan Macau Scam telah menyerahkan maklumat bagi empat akaun berbeza miliknya kepada lelaki bergelar 'Datuk' melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian tersebut, mangsa bukan sahaja didorong perasaan takut dengan kes pengedaran dadah, malah turut dikaitkan menggelapkan wang selain mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM10,300.

“Mangsa dimaklumkan berhubung tunggakan bayaran kad kredit berkenaan sebelum panggilan disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai anggota polis sebelum memaklumkan dia juga dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah serta menggelapkan wang.

“Mangsa kemudiannya dirujuk kepada seorang lagi individu bergelar ‘Datuk’ bagi menyelesaikan kes tersebut sebelum dia diminta lelaki berkenaan agar memindahkan wang dalam akaun-akaun banknya ke satu akaun bank sahaja,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa akur berbuat demikian kononnya bagi tujuan siasatan sebelum menyedari ditipu, selain mendapati terdapat bukti pemindahan ke akaun lain tidak dikenali sebanyak dua kali.

“Susulan kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: