Mujahid sedia terajui Amanah jika dipilih

Mujahid (tiga dari kiri) bersama wakil media yang hadir pada Majlis Minum Petang Bersama Media di Restoran Rebung Chef Ismail, Bukit Aman, pada Jumaat.
Mujahid (tiga dari kiri) bersama wakil media yang hadir pada Majlis Minum Petang Bersama Media di Restoran Rebung Chef Ismail, Bukit Aman, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti itu sekiranya memperoleh sokongan tertinggi.

Beliau berkata, pemilihan itu diserahkan sepenuhnya kepada 27 pimpinan utama untuk menentukan pemilihan lima jawatan tertinggi menerusi konsep rundingan bersama.

“Amanah mengamalkan sistem tiada pertandingan satu lawan satu bagi jawatan presiden, timbalan presiden atau tiga naib presiden maka terbentuklah jawatankuasa nasional.

“Jadi tiada guna saya beritahu saya mahu jadi (bertanding) presiden atau sebagainya, kerana kita (Amanah) bukan bertanding untuk jawatan tetapi mahu menjadi lima yang tertinggi mendapat sokongan.

“Keadaan pramatang sekarang untuk mengatakan mahu jawatan presiden atau lain-lain kerana seseorang itu tidak mungkin mendapat tertinggi atau sekurang-kurangnya 17 (sokongan selamat) daripada keseluruhan 27 pimpinan utama itu,” katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Media di Restoran Rebung Chef Ismail, Bukit Aman, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasratnya bertanding jawatan utama kepemimpinan Amanah.

Mujahid berkata sebagai contoh, dirinya perlu menang undian daripada 27 itu dahulu, barulah boleh berdepan cabaran untuk mencalonkan diri bagi mendapatkan (konsensus) rundingan bersama.

Mengulas lanjut mengenai berapa lama tempoh masa diperlukan untuk memilih lima jawatan tertinggi itu selepas lantikan 27 pemimpin utama, Mujahid berkata, sebaik konvensyen selesai pengerusi tetap akan mengadakan mesyuarat pertama untuk membuat pemilihan tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Amanah memberi peluang kepada ahlinya untuk menentukan masa depan parti dengan terlibat dalam pemilihan pucuk pimpinan.

“Ini kerana Amanah mengikut perlembagaan dan dalam konvensyen 27 pimpinan utama dipilih dan mereka ini dipilih bersama ketua-ketua sayap, jumlahnya akan menjadi kepada 30 orang,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) itu.

Kata Mujahid lagi, 30 orang itu akan berbincang mengenai siapa layak dilantik barisan baharu kepemimpinan parti.

”Kaedah itu berdasarkan prinsip syura (rundingan bersama), ukhuwah dan perpaduan iaitu yang dipilih (mengisi jawatan) itu kerana pimpinan utama yang mahukan mereka,” katanya.

Jelasnya, Amanah komited untuk menangkis naratif partinya tidak disukai kerana pendekatan keras (hardline) dalam isu islamik, syariah dan lain-lain.

“Kita mahu menggunakan pendekatan sederhana dan reform untuk menjadikan Amanah parti yang diterima,” ujarnya.

Difahamkan terdapat kira-kira 1,000 perwakilan meliputi 190 kawasan layak memilih untuk pemilihan 27 jawatan pimpinan utama itu.

Amanah akan mengadakan pemilihan Jawatankuasa Nasional parti sesi 2023-2026, serentak penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023yang bermula 22 hingga 24 Disember ini.

Parti yang berpegang pada konsep Rahmatan Lil ‘Alamin itu adalah sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk Kerajaan Perpaduan bersama UMNO.