Peluang pekerjaan lebih besar jika tukar kerajaan Terengganu - TPM

Ahmad Zahid (tengah) pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah, Bandar Al Muktafi Billah Shah pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Kerajaan Perpaduan jamin akan memberi keutamaan kepada golongan belia melalui peluang pekerjaan yang lebih besar jika berjaya merampas pentadbiran di Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jaminan itu diberikan dengan mengambil kira peratusan tinggi melibatkan golongan belia.

"Kalau kita lihat, kumpulan belia 30 peratus daripada penduduk di negara ini dan kalau kita campurkan mereka yang berumur 21 hingga 40 tahun (pula) ia menjadi lebih 51 peratus.

"Saya yakin jika pentadbiran berubah selepas 12 Ogos, saya akan pastikan dan akan pantau pemimpin yang akan ambil alih (pentadbiran kerajaan Terengganu) mesti memberi keutamaan kepada golongan belia untuk diberikan peluang pekerjaan yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) di Kompleks Sukan Ketengah Bandar Al-Muktafi Billah Shah, di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said.

Sementara itu, dalam ucapan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan peruntukan RM149.3 juta bagi membiayai projek di Terengganu yang akan dilaksanakan Ketengah.

Ujarnya, projek yang telah diluluskan itu melibatkan antaranya pembinaan jalan baharu dari Bukit Kor ke Medan Jaya, Marang.

Selain itu katanya, ia turut melibatkan pembinaan jalan baharu dari Kampung Tok Molor ke Kampung Gong Pipit, Kuala Terengganu.