Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah & Enaya musnah dibedil Zionis - Tun M

Tangkap layar aplikasi X Tun M dan facebook PGPF.
Tangkap layar aplikasi X Tun M dan facebook PGPF.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya di Gaza mengalami kemusnahan dalam serangan Israel pada 7 November lalu.

Menerusi kenyataan di media sosial, bekas perdana menteri itu berkata, terdapat lima keluarga rakyat Palestin yang mendapatkan perlindungan di fasiliti tersebut selepas rumah mereka terkena serangan sebelumnya.

Namun, katanya, empat ahli keluarga mereka telah meninggal dunia susulan pengeboman Israel pada 7 November tersebut.

"Saya berkabung susulan pengeboman dan kemusnahan hospital dan pusat perlindungan lain di Gaza sebelum ini.

"Tetapi saya mempunyai pertalian peribadi dengan hospital ini. Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang mana saya merupakan ahlinya, terlibat secara langsung dalam pembinaannya sejak awal lagi.

"PGPF, bersama Humanitarian Care Malaysia, Muslim Care Malaysia, Media Prima Humanitarian Fund dan Persatuan Amal untuk Bantuan Palestin membantu membinanya dan ia telah beroperasi sejak 2019," katanya pada Jumaat

Dr Mahathir berkata, fasiliti berkenaan terletak di Khan Younis di Selatan Gaza dan tidak mendatangkan kesan kepada rejim Zionis namun Israel tetap menyasarkannya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini di Gaza, Dr Mahathir berkata, serangan Zionis Israel kini bertukar menjadi operasi pembunuhan beramai-ramai orang awam dan bukan pejuang Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Ia bukan perang antara tentera, tetapi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel untuk menyingkirkan Gaza daripada penduduk Palestin.

"Pengeboman hospital, kediaman dan kini pusat fisioterapi, membuktikan bahawa Israel menyasarkan kemudahan ini secara sengaja dan dengan niat," ujarnya.

Dr Mahathir berkata, apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah membantah dan berdoa agar rakyat Palestin dihindarkan daripada kekejaman Israel.

"Sekutu Israel, terutamanya Amerika Syarikat dan United Kingdom terus membenarkan dan menyokong kebiadaban Israel," tambahnya. - Awani