Beri peluang Mohd Ya’cob berfungsi semula dalam masyarakat

Along Spoon (kanan) dan Mohd Ya'cob.
Along Spoon (kanan) dan Mohd Ya'cob.
A
A
A

KETIKA ini mesti ramai penggemar genre slow rock memutar kembali lagu-lagu lama era 90-an nyanyian kumpulan Spoon bukan?

Mana tidaknya, kisah tragis yang pernah menggemparkan negara satu masa dahulu kini dibangkitkan semula apabila bekas banduan disabitkan kesalahan membunuh Allahyarham Along Spoon atau nama sebenar, Sabi’ul Malik Shafiee telah dibebaskan dari Penjara Kajang semalam.

Mohd Ya'cob Demyati, 57, yang juga bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal sebelum ini diperintah menjalani hukuman mati, namun diringankan kepada penjara sepanjang hayat sebelum Mahkamah Persekutuan pada Khamis menukarnya kepada penjara 33 tahun.

Bagaimanapun, setelah hukuman penjara 33 tahun tersebut ditolak cuti satu pertiga, dia perlu menjalani hukuman kira-kira 23 tahun sahaja dan bebas pada hari sama keputusan mahkamah dibuat.

Peguamnya, Che Muji Che Noh berkata, penjara selama 33 tahun itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan anak guamnya pada 4 Januari 2000.

Mohd Ya'cob adalah antara 12 banduan yang terlepas daripada hukuman mati atau penjara sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan menukarkannya kepada penjara 30 tahun dan ke atas, tetapi banduan lain turut dikenakan 12 sebatan.

Mengikut pertuduhan, pesalah yang berasal dari Johor itu pernah bertugas di cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum ini.

Dia dituduh membunuh pelantun lagu Rindu Serindu Rindunya dan Memori Sekuntum Rindu yang ketika itu berusia 19 tahun di tepi jalan di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.

Artikel Berkaitan:

Along yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999, 10 hari kemudian pihak polis menjumpai rangka manusia diikat dalam guni dipercayai vokalis berkenaan.

Menurut laporan media tempatan, motif pembunuhan adalah angkara cemburu kerana Along Spoon didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan isteri Mohd Ya'cob yang pada ketika itu bekerja sebagai pembantu peribadi kepada anggota kumpulan terbabit, walaupun perkara tersebut dinafikannya.

Bagaimanapun, kes itu sudah berlaku lebih dari 20 tahun dan sudah semestinya kejadian menyayat hati ini mampu menyedarkan si tertuduh dan berubah ke arah yang lebih baik.

Difahamkan, Mohd Ya’cob seorang yang sangat menjaga adab dan menyantuni banduan-banduan lain ketika berada di dalam sel tahanan sehinggakan warden penjara juga memuji keperibadian serta tingkah lakunya.

Apa pun, orang ramai perlu memberi peluang kedua kepada bekas banduan seperti Mohd Ya’cob dan bantu golongan tersebut untuk kembali berintegrasi serta berfungsi semula dalam komuniti di negara ini.

Stigma masyarakat yang menganggap golongan bekas banduan tidak perlu dibantu dan meminggirkan mereka perlu dikikis, sebaliknya memberi sokongan moral agar jangan diulangi kesilapan sama.