Pampasan akhir waris MH17 tertakluk pembuktian kerugian

Bangkai pesawat MH17 yang jatuh ditembak di timur Ukraine sehingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru penerbangan itu pada 17 Julai 2014.
Bangkai pesawat MH17 yang jatuh ditembak di timur Ukraine sehingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru penerbangan itu pada 17 Julai 2014.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Khamis diberitahu bahawa jumlah bayaran pampasan akhir yang diterima waris mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 tertakluk kepada pembuktian kerugian yang dialami setiap penumpang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembuktikan kerugian itu dinilai mengikut prinsip undang-undang dan tertakluk kepada Konvensyen Montreal.

"Namun begitu saya difahamkan apabila berlakunya (tragedi) MH17 ini, melalui syarikat penerbangan, keluarga penumpang telah diberikan pampasan sebelum ini.

"Tetapi jumlah (pampasan) itu perkara yang sulit antara syarikat penerbangan dengan keluarga penumpang," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan.

Anthony Loke
Anthony Loke

Pada 17 Julai 2014, pesawat malang MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine setelah dipercayai ditembak dengan peluru berpandu di ruang udara negara yang bergolak berkenaan.

Menyentuh mengenai kes pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu pula, Anthony Loke memberitahu, kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu sewaktu kejadian berlaku.

Kata beliau, selain kerajaan, syarikat e-hailing juga membantu keluarga mangsa.

Artikel Berkaitan:

Dalam tragedi Elmina yang menggemparkan negara tersebut, seramai 10 mangsa disahkan maut membabitkan lapan penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi ialah pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.