Jelajah Negeri Sembilan gamit dua kelab pro luar negara

Khairy Jamaluddin (berdiri, empat kiri) berkesempatan beramah mesra dengan pelumba terlibat.
Khairy Jamaluddin (berdiri, empat kiri) berkesempatan beramah mesra dengan pelumba terlibat.
A
A
A

KEHADIRAN dua kelab berbasikal profesional dari Filipina dan Myanmar bakal menjanjikan saingan sengit dalam Jelajah Negeri Sembilan 2023 sejauh 372 kilometer (km) yang menyingkap tirainya Khamis ini.

Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dua kelab itu merupakan antara 20 pasukan yang bakal berentap dalam perlumbaan yang dianjurkan sejak 2006.

"Selain itu, perlumbaan kali ini juga turut disertai seorang pelumba dari Thailand yang mewakili sebuah kelab tempatan.

"Secara keseluruhan seramai 103 pelumba mewakili lapan pasukan negeri dan 12 kelab berbasikal tempatan akan bersaing dalam edisi kelapan kali ini," katanya semasa Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pasukan di Seremban pada Rabu.

Hadir merasmikan majlis tersebut di Kelab d'Tempat Bandar Sri Sendayan adalah Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor.

Khairy yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata, siri jelajah itu mempunyai objektif tersendiri terutamanya bagi tujuan mencungkil dan mengasah bakat baharu pelumba basikal tanah air.

"Biarpun magnitud penganjurannya lebih kecil jika dibandingkan dengan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), tetapi memberi impak jangka panjang ke arah pembangunan bakat pelapis.

"Perlumbaan seperti ini, persatuan negeri juga secara, tidak langsung dapat menguji prestasi pelumba masing-masing terutama menjelang Sukma Sarawak 2024 tahun depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Khairy lagi, Jelajah Negeri Sembilan juga mampu memberikan impak dalam sektor pelancongan di Negeri Sembilan melalui promosi serta lokasi menarik yang dipilih sebagai laluan dan tempat perlumbaan.

Pasukan tuan rumah yang bakal memberi cabaran dalam perlumbaan sejauh 372 km Jelajah Negeri Sembilan 2023 Khamis ini.
Pasukan tuan rumah yang bakal memberi cabaran dalam perlumbaan sejauh 372 km Jelajah Negeri Sembilan 2023 Khamis ini.

"PBNS turut bekerjasama dengan Havoc Mini Food Festival 2023 yang menyediakan festival makanan dan jualan buat pengunjung

"Pelbagai aktiviti bagi memeriahkan program seperti Cycling For All anjuran PKBM juga disediakan kali ini," katanya.

Sebagai rekod, perlumbaan kali ini membabitkan empat peringkat perlumbaan anjuran PBNS dengan sokongan Kerajaan Negeri Sembilan, Kementerian Belia dan Sukan serta PKBM.

PBNS mempertaruhkan empat jersi iaitu Jersi Kuning (Juara Keseluruhan), Jersi Hijau (Raja Pecut), Jersi Merah (Raja Bukit) dan Jersi Putih (Pelumba Terbaik Bawah 23 tahun), dengan nilai hadiah keseluruhan berjumlah RM36,000.

INFO

Jelajah Negeri Sembilan 2023 (372km)

Peringkat Pertama

Senawang-Seri Menanti (100.8km),

Peringkat Kedua

Bandar Baru Nilai-Tampin (121.5km)

Peringkat Ketiga

D'Tempat Loop (150.7km)

Peringkat Keempat

D'Tempat Criterium (42km)