Jalan cerita positif mampu didik netizen - Izzlin

A
A
A

Jalan cerita yang di inspirasikan melalui kisah sebenar kehidupan harian rakyat Malaysia menjadikan pelantar media sosial Izzlin Azhar mendapat jutaan tontonan.
Jalan cerita yang di inspirasikan melalui kisah sebenar kehidupan harian rakyat Malaysia menjadikan pelantar media sosial Izzlin Azhar mendapat jutaan tontonan.

KUALA LUMPUR - Paparan dan perkongsian video di setiap pelantar media sosial memberi impak positif dan negatif kepada masyarakat. Ia juga memberi gambaran tahap pemikiran dan kecenderungan masyarakat atau rakyat di sesebuah negara.

Justeru sebagai salah seorang pempengaruh yang mempunyai ratusan ribu pengikut, Izzlin Azhar atau lebih mesra dengan panggilan nama Kak Lin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mamamuda menyatakan beliau amat serius dalam berkongsi apa juga jalan cerita dalam setiap video yang di kongsikan di pelantar media sosial peribadi dan syarikatnya.

“Jalan cerita yang saya ketengahkan mestilah berlandaskan cerita sebenar daripada kehidupan harian masyarakat di Malaysia. Ia lebih dekat dan mudah difahami oleh mereka yang menonton video tersebut.

“Sebelum penggambaran dimulakan, saya dan pasukan penerbitan syarikat saya akan membuat sesi percambahan fikiran bagi mengenal pasti tema cerita setiap video yang akan dibuat pengambaran.

“Ceritanya mestilah ringan, mempunyai nilai-nilai positif dan lakonan bersahaja yang terdiri daripada pemegang watak utamanya saya sendiri yang kadang-kadang menjadi ibu, kakak, anak dan usahawan. Sebagai pemegang watak utama, saya akan pastikan watak-watak lain tidak tenggelam dengan kehadiran watak saya yang lebih dominan,” ujar Kak Lin.

Artikel Berkaitan:

IZZLIN
IZZLIN

Menurut Kak Lin, proses pra-produksi, produksi dan pasca-produksi mengambil masa hampir tiga hari bagi setiap satu video yang diterbitkan. Jika di peringkat awal penerbitan video bagi pelantar di Facebook, Instagram dan TikTok, pelbagai masalah penerbitan terjadi sehingga menyebabkan mereka membuat penggambaran semula bagi babak tertentu, selain perlu menukar jalan cerita serta membuat perubahan watak setiap pelakon.

Kesemua itu terjadi kerana mereka tidak mempunyai banyak pengalaman dan tidak mempunyai latar belakang dalam bidang produksi serta media.

“Alhamdulillah dengan usaha yang konsisten, tanpa rasa jemu pasukan penerbitan saya yang merupakan kakitangan syarikat berjaya mencuri tumpuan khalayak sehingga mendapat jutaan jumlah tontonan dan tanda suka. Lebih mengesankan, apabila Kak Lin dan kakitangan yang berlakon dalam video media sosial kami dikenali.

“Apabila kami berada di tempat awam seperti pusat beli belah, ada pengikut saya yang datang menegur kami, bukan sahaja orang dewasa, malah kanak-kanak berusia lima tahun pun mengenali saya.

“Sebab itu, ingin Kak Lin tekankan setiap kandungan video media sosial yang ingin kita kongsikan mestilah mempunyai matlamat penerbitan yang mempunyai nilai-nilai moral yang baik. Secara langsung dan tidak langsung ia dapat membina akhlak dan sahsiah rakyat Malaysia yang lebih sentiasa positif,” jelas Kak Lin lagi.

Belakang tabir rakaman kandungan media sosial yang diketengahkan oleh Izzlin Azhar atau Kak Lin.
Belakang tabir rakaman kandungan media sosial yang diketengahkan oleh Izzlin Azhar atau Kak Lin.

Tambah Kak Lin lagi, pempengaruh menjadi milik awam, justeru setiap tindak tanduk mereka dan apa yang dikongsikan di pelantar media sosial akan mempengaruhi khalayak.

“Jika ia berbentuk positif ia adalah sangat digalakkan, namun ada juga pempengaruh yang mengambil kesempatan dengan berkongsi kandungan video yang kurang sopan, cenderung untuk menghentam dan memfitnah pihak lain (politik) dan lebih malang ada yang melanggar tidak sahaja batas agama, malah budaya dan undang-undang di negara ini.

“Jadi adalah penting, setiap pempengaruh mempunyai sikap ‘menapis’ setiap video yang ingin dikongsikan agar sesuai dengan keperluan masyarakat di negara ini,” katanya.

Izzlin bersama pasukan produksi yang menerbitkan pelbagai kandungan postif di media sosial syarikatnya.
Izzlin bersama pasukan produksi yang menerbitkan pelbagai kandungan postif di media sosial syarikatnya.

Untuk rekod, penerbitan video yang bertemakan ‘rupa paras bukan ukuran’ yang dikongsikan oleh Kak Lin di pelantar TikTok (@izzlin_azhar) mendapat lebih enam juta tontonan, manakala tema ‘suami tidak bertanggungjawab’ mendapat hampir lima juta tontonan.

Antara tema dan jalan cerita yang diterbitkan oleh pasukan penerbitan Kak Lin ialah tema buli antara pekerja, sikap ibu mertua yang cerewet, adik beradik yang mementingkan diri sendiri, anak derhaka, pecah amanah dan wanita tonggak keluarga.