26,286 unit rumah siap dibina tidak terjual

Akmal Nasrullah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu. - Foto Bernama
Akmal Nasrullah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mendedahkan sebanyak 26,286 unit rumah siap dibina tidak terjual dengan nilai RM18.3 bilion pada suku kedua tahun 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus dari segi jumlah unit manakala penurunan sebanyak 0.6 peratus dari segi nilai berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bagi menjawab soal aspek pembiayaan bagi menggalakkan pembiayaan rumah di seluruh negara, kerajaan komited melalui inisiatif i-Biaya di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), kerajaan memberi jaminan had pembiayaan sehingga RM500,000.

“Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (Mortgage Reducing Term Assurance, MRTA) atau Takaful Gadai Janji (Mortgage Reducing Term Takaful, MRTT), yuran guaman dan yuran penilaian. Pembiayaan adalah terhad kepada rumah pertama.

“Walau bagaimanapun, pembiayaan ini tidak terhad untuk kediaman baharu sahaja, tetapi termasuk juga rumah sedia ada atau rumah lelongan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Suhaimi meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah usaha kementerian bagi mengatasi isu hartanah tidak terjual yang berpunca daripada ketidaksepadanan nilai hartanah dibina dengan kemampuan pemilikan rakyat.

Dalam pada itu, ujar Akmal Nasrullah, bagi memastikan isu lambakan rumah tidak terjual dapat dikawal, kerajaan melaksanakan beberapa tindakan seperti pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperolehi daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.

“Kaedah ini mengambil kira median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median (median multiple).

Artikel Berkaitan:

“Pemetaan ini sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan turut menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual.

Tambahnya, inisiatif lain juga termasuk usaha membangunkan Sistem Analitis Data Raya (Big Data Analaytics) Perumahan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan.

Dalam pada itu, jelas beliau, berdasarkan pengumuman Ekonomi Madani, jumlah keseluruhan jaminan yang diberi oleh kerajaan telah meningkat kepada RM10 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan SJKP ini.

“Di sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 sehingga 30 September 2023, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan.

“Seterusnya, Kerajaan Madani melalui Belanjawan 2024 telah mencadangkan untuk menambah lagi RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 orang peminjam,” jelasnya.