Scammer menyamar pegawai pos, pensyarah hilang RM100,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GOMBAK - Seorang pensyarah kerugian RM100,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam didalangi dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai pejabat pos dan anggota polis.

Mangsa mulanya dihubungi seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai pos yang mendakwa bungkusan didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar dari Kepong ke Kota Kinabalu, Sabah ditahan berikutan mengandungi kad pengenalan dan kad bank milik orang lain.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa menafikan dia terlibat dengan kes tersebut namun suspek memintanya berhubung dengan pihak polis.

Menurutnya, mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai anggota polis kononnya dari Bahagian Unit Tindakan Khas.

“Suspek menyamar sebagai polis itu memberitahu menyiasat kes jenayah melibatkan mangsa dan meminta supaya pensyarah berusia 64 tahun itu tidak menceritakan hal tersebut kepada sesiapa untuk mengelakkan ditangkap selain dikehendaki mematuhi Akta Rahsia Rasmi.

“Mangsa turut diminta menyerahkan butiran jenis akaun bank yang dimiliki serta jumlah wang dalam akaun,” katanya.

Beliau berkata, pada 20 Disember lalu suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memintanya mengeluarkan kesemua wang berikutan pihak Bank Negara didakwa akan membekukan akaun bank mangsa.

Menurut Arifai, bimbang dengan dakwaan suspek, mangsa mengeluarkan wang sebanyak RM100,000 dari satu akaun bank miliknya.

Artikel Berkaitan:

“Suspek arahkan mangsa masukkan wang tersebut ke dalam satu beg dan meninggalkannya di atas sofa buruk di tempat pembuangan sampah di luar kawasan institusi pengajian tinggi (IPT) tempat mangsa bekerja.

“Mangsa juga diberitahu supaya berjalan terus selepas meletakkannya tanpa menoleh ke belakang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya membuat laporan polis selepas berasa hairan dengan apa yang berlaku.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak Asisten Superintendan Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 03-6126 2222.

“Mereka yang ingin mendapatkan atau memberikan maklumat berhubung kes tersebut juga boleh menghubungi talian 0132111222,” katanya.

Dalam pada itu, Arifai menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.

Katanya, orang ramai boleh meminta nasihat di balai polis terdekat jika menerima panggilan meragukan.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang PDRM untuk mendapatkan info terkini mengenai modus operandi penipuan,” katanya.