Kanak-kanak lapan tahun lemas di Pantai Taping

Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Hanyan Ramlan
Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Hanyan Ramlan
A
A
A

CHUKAI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas dipercayai selepas bermain di Pantai Taping, Kemasek, di sini petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan orang awam pada jam 5.21 petang yang memaklumkan mangsa Muhammad Ammar Azwan Azani telah dihanyutkan ombak ketika bermain bersama rakannya di kawasan pantai berkenaan.

"Anggota dari Balai Polis Ayer Jernih dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

"Mayat mangsa bagaimanapun ditemukan orang awam kira-kira setengah jam selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Hanyan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak daripada melakukan aktiviti air, kerana musim Monsun Timur Laut (MTL) sudah pun bermula.

Beliau berkata tinjauan pihaknya di kawasan pantai juga mendapati ombak semakin tinggi dan berbahaya kepada sebarang aktiviti rekreasi.

"Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran bahawa MTL telah pun bermula.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya minta ibu bapa tolong pantau aktiviti anak-anak terutama pada musim cuti sekolah seperti sekarang kerana mereka lebih bebas dan ada banyak masa bermain di luar,” katanya. - Bernama