Gempar jumpa rangka manusia dalam belukar

Satu rangka manusia dijumpai di kawasan belukar bawah jambatan Jalan Persiaran Putra Harmoni, Subang Jaya pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Azlan)
Satu rangka manusia dijumpai di kawasan belukar bawah jambatan Jalan Persiaran Putra Harmoni, Subang Jaya pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Azlan)
A
A
A

SUBANG JAYA - Kerja-kerja penyelenggaraan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), di sini digemparkan dengan penemuan rangka manusia di belukar bawah jambatan Jalan Persiaran Putra Harmoni, Putra Height pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, satu laporan polis diterima pihaknya pada jam 12.15 tengah hari.

Menurutnya, rangka manusia itu dijumpai dalam keadaan masih lengkap berpakaian baju T warna biru, singlet putih dan berseluar jeans panjang.

"Pemeriksaan polis di seluar mangsa menjumpai dompet mengandungi kad pengenalan diri warga Indonesia.

"Butiran diri mangsa ialah Riki Mandaguna berusia 40 tahun beralamat Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, turut dijumpai sebelah mangsa ialah beg galas mengandungi barang keperluan diri seperti pakaian.

Wan Azlan berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan masa kematian mangsa di antara tiga hingga enam minggu.

"Rangka itu telah dihantar ke Jabatan Patalogi Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar menyalurkan kepada Sarjan Ruzaizi A Ghani di talian 017-6762338 atau menghubungi Balai Polis Putra Height di talian 03-5191374.