Sabah 'henyak habis' Hai Phong di Likas

Daniel Ting (kanan) meraikan jaringan bersama pemain Sabah lain ketika berdepan Hai Phong dalam aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas malam ini. FOTO: BERNAMA
Daniel Ting (kanan) meraikan jaringan bersama pemain Sabah lain ketika berdepan Hai Phong dalam aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas malam ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

STADIUM Likas kekal menjadi gelanggang keramat Sabah FC, apabila The Rhinos meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas kelab Vietnam, Hai Phong dalam aksi Kumpulan H Piala AFC pada Khamis.

Kemenangan di Kota Kinabalu itu membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee mengumpul sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan - tiga menang dan satu tewas - sebelum ini.

Tiga mata diraih itu juga menebus kekalahan 3-2 anak buah Kim Swee kepada skuad kendalian Chu Dình Nghiem di Stadium Lach Tray pada 25 Oktober lalu.

Sabah yang tampil dengan misi tiga mata bermula garang dengan gol pertama dijelmakan menerusi Daniel Ting pada minit ke-20 bagi memimpin perlawanan.

Gol itu ternyata meningkatkan intensiti permainan apabila Darren Lok meledak jaringan kedua hasil tandukan selepas menyudahkan sentuhan Saddil Ramdani pada minit ke-34.

Separuh masa kedua, Sabah menggandakan asakan hasilnya Gabriel Perez turut mencetak nama sebagai penjaring dengan gol minit ke-70 juga menerusi hantaran Saddil.

Pelawat yang tidak mengalah kembali meningkat serangan berjaya mengurangkan defisit menerusi gol hasil jaringan Yuri Souza pada minit ke-85.

Tersentak jaringan itu, Sabah memperkemaskan permainan berjaya menambah satu lagi jaringan menerusi Jafri Chew selepas menerima hantaran Ramon Machado pada minit ke-95.

Artikel Berkaitan:

Perlawanan seterusnya Sabah akan berdepan kelab Singapura, Hougang di Stadium Jalan Besar pada 30 November.