Lintasan Rafah ditutup sementara - AS

Deretan ambulans yang membawa rakyat Palestin tercedera menunggu di lintasan Rafah untuk ke Mesir. - Foto: Reuters
Deretan ambulans yang membawa rakyat Palestin tercedera menunggu di lintasan Rafah untuk ke Mesir. - Foto: Reuters
A
A
A

WASHINGTON - Lintasan sempadan Rafah ke Gaza ditutup disebabkan 'keadaan keselamatan' yang tidak mengizinkan, pada Rabu.

Timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Vedant Patel mendakwa, pihaknya sedang cuba bekerjasama dengan Mesir dan rejim Israel untuk membukanya semula.

Rafah yang dikuasai oleh Mesir dan tidak bersempadan dengan Israel merupakan satu-satunya titik penyampaian bantuan sejak Israel melancarkan serangan ketenteraan dan pengepungan ke atas Gaza, pada 7 Oktober.

Pemindahan pemegang pasport asing melalui lintasan itu digantung pada Sabtu dan Ahad selepas serangan Israel ke atas ambulans yang menuju ke Rafah, tetapi lintasan itu dibuka semula pada Isnin dan Selasa.

Menurut Patel, berdasarkan pemahaman AS, keadaan keselamatan menjadi punca Rafah ditutup.

Bagaimanapun katanya, AS menjangkakan lintasan yang dikawal Mesir akan dibuka semula pada "selang masa yang tetap" supaya bantuan boleh masuk ke Semenanjung Gaza dan warga asing boleh terus melaluinya.

Lebih 400 warga ASa, ahli keluarga dan penduduk tetap setakat ini telah keluar dari Gaza sejak pemegang pasport asing mula berlepas melalui Rafah minggu lalu.

Washington telah menggesa Israel untuk bersetuju dengan jeda kemanusiaan supaya bantuan dapat disalurkan ke Gaza.

Artikel Berkaitan:

Patel berkata, 81 trak yang membawa makanan, ubat-ubatan, bekalan kesihatan, air botol dan produk kebersihan menyeberang ke lintasan itu pada Selasa.

Ini menjadikan kira-kira 650 jumlah keseluruhan trak yang telah menyeberang sejak perjanjian diplomatik dicapai untuk membuka semula lintasan pada 21 Oktober lepas. - Awani