Tia Jinbara perlu RM250,000 jalani pemindahan hati

A
A
A

PENYANYI yang juga bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, memerlukan dana sebanyak RM250,000 bagi menjalani pemindahan hati di India.

Menurut isterinya yang juga pengurus Tia, Suzan Ahmad, tidak ada pakar yang bersesuaian di Malaysia yang dapat membantu merawat suaminya itu.

Justeru, pilihan yang ada adalah untuk membawa Tia menjalani rawatan di India.

"Sebelum ini saya difahamkan ada pakar hati di Hospital Selayang dan saya baru saja bertemu doktor tersebut hari ini. Mereka maklumkan tidak ada 'setting' untuk kes abang Tia.

"Jadi pilihan yang ada adalah untuk bawa abang Tia ke India kerana di sana ada pakar berkaitan, ada rekod kes yang lebih teruk dan pesakit itu sembuh.

"Doktor di sini juga cadangkan perkara sama. Jadi selagi ada jalan untuk mendapatkan rawatan, saya akan lakukan apa sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, satu-satunya yang menjadi kekangan kini adalah kewangan tidak mencukupi.

Justeru, bagi membantu menambah dana yang ada, tabung bantuan untuk Tia sudah dilancarkan sejak semalam dan setakat jam 4 petang Rabu, sebanyak RM10,000 berjaya dikumpul.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon peminat, persatuan atau mana-mana pihak yang sudi membantu, dapat hulurkan bantuan kerana abang Tia perlu mendapatkan rawatan segera sebelum keadaannya bertambah buruk," jelasnya.

Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, buat sementara waktu, doktor telah mencadangkan Tia mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN).

"Mereka jelaskan pada saya, sebelum abang Tia jalani pemindahan hati, kansernya harus dirawat terlebih dahulu dan mereka cadangkan rawatan SIRT (selective internal radiation therapy).

"Rawatan ini bagi memastikan kanser yang ada tidak merebak ke organ lain," ujarnya.

Sementara itu, berkongsi keadaan terkini suaminya itu, Suzan berkata, Tia berada dalam keadaan stabil dan di bawah penjagaan rapi Hospital Shah Alam.

"Pihak hospital pastikan dia berada dalam keadaan selesa dan tidak sakit. Jika ada masalah pada organ lain, mereka akan pastikan masalah itu diatasi," katanya.

Terdahulu, Tia disahkan menghidap kanser hati dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam sejak Rabu minggu lalu.

Tia dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit perut dan setelah pelbagai pemeriksaan dijalankan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan terakhir, CT Scan, barulah doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada hatinya.

Bagi yang mahu memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 114123682233 (Maybank) atas nama Suzan Ahmad.