105 kali rogol, sekali pun tidak boleh dimaafkan - Hakim

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - "Sekali pun tidak boleh maafkan, inikan pula 105 kali," kata Ketua Panel Hakim Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu selepas menolak rayuan akhir seorang penganggur yang disabitkan kesalahan merogol anak tiri perempuannya berusia 12 tahun, sejak 2018.

Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata demikian selepas mahkamah itu menolak rayuan akhir lelaki itu selaku perayu, untuk mengurangkan hukuman penjara selama 42 tahun dan 24 sebatan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hadhariah yang bersidang bersama dua lagi hakim iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin berkata, mahkamah sebulat suara mengekalkan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Klang, Selangor.

Semasa prosiding, peguam K A Ramu yang mewakili perayu, memohon mahkamah mempertimbangkan rayuan anak guamnya kerana telah mendapat pengajaran sepanjang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir selaku responden memohon mahkamah mengekalkan hukuman itu kerana mangsa telah dirogol selama dua tahun, bermula 2018.

"Hanya pada tahun 2020, timbul keberanian pada kanak-kanak itu untuk melarikan diri.

"Mak mangsa pergi kerja namun perayu pula melakukan perbuatan terkutuk itu," katanya.

Susulan itu beliau berkata, hukuman 42 tahun penjara sangat wajar dan dia mempunyai masa untuk bertaubat.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, perayu didakwa atas 105 pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor pada 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat.

Pada 27 Januari 2021, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhi tertuduh hukuman penjara selama 1,050 tahun dan 24 sebatan.

Hakim Datin M Kunasundary memutuskan demikian selepas perayu yang ketika itu tertuduh, mengaku bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Pada Mac tahun lalu pula, Mahkamah Tinggi Klang mengetepikan hukuman penjara 1,050 tahun yang dijatuhkan terhadap perayu dengan mengurangkan hukuman kepada 42 tahun tetapi mengekalkan hukuman 24 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen.

Hakim Datuk Azmi Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan lelaki itu terhadap hukuman penjara tersebut dan mengurangkan hukuman.