Tony Fernandes terima anugerah 'Asia Pacific CEO of The Year'

Tony Fernandes (kiri) menerima anugerah sebagai ‘Asia Pacific CEO of The Year’ sempena Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 oleh Airline Economics di Singapura pada Rabu.
Tony Fernandes (kiri) menerima anugerah sebagai ‘Asia Pacific CEO of The Year’ sempena Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 oleh Airline Economics di Singapura pada Rabu.
A
A
A

SINGAPURA - Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dinobatkan sebagai ‘Asia Pacific CEO of The Year’ sempena Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 oleh Airline Economics di Singapura, pada Rabu.

Pengarah Urusan Airline Economics, Philip Tozer-Pennington berkata, Tony Fernandes layak diiktiraf bagi anugerah tersebut berdasarkan kepimpinan luar biasa dan sumbangan beliau kepada industri penerbangan.

"Visinya dan kesetiaannya bukan sahaja telah mengubah AirAsia dan Capital A tetapi juga telah meninggalkan kesan yang positif dalam landskap penerbangan yang lebih luas di rantau Asia Pasifik.

"Anugerah ini adalah satu bukti kepada pencapaiannya yang cemerlang, dan kami bangga untuk meraikan kejayaannya," katanya sempena majlis penganugerahan itu.

Anugerah tahunan tersebut adalah bagi mengiktiraf serta meraikan pemimpin terunggul dalam industri penerbangan.

Ia juga sempena Persidangan Airline Economics Growth Frontiers Asia Pasifik, yang disertai kira-kira 700 ahli profesional dalam bidang penerbangan.

Proses pengundian terdiri daripada pakar industri, termasuk syarikat penerbangan, pemilik pesawat, bank, firma guaman, dan pemegang kepentingan utama lain.

Undian bagi penganugerahan ‘Aviation 100’ merupakan proses menyeluruh meliputi sepanjang tahun, terdiri daripada undian yang khusus kepada setiap aspek.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun, menyifatkan pengiktirafan tersebut tepat pada masanya susulan industri penerbangan kini kembali pulih selepas pandemik Covid-19.

Katanya, ia juga menonjolkan nilai yang dibawa kepada pelanggan sebagai sebuah kumpulan perkhidmatan penerbangan dan pelancongan yang berharga.

"Tahniah kepada rakan saya, Tony atas pencapaian hebat ini kerana ia mencerminkan kerja keras, ketabahan, dan kesetiaan semua Allstars di seluruh Capital A.

"Melangkah ke depan, kami akan terus merealisasikan misi kami dalam memberikan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan di samping terus memberikan sumbangan positif kepada ekonomi dan industri, di peringkat serantau dan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Capital A, Pattra Boosarawongse turut menzahirkan rasa bangga atas anugerah penerbangan yang berprestij tersebut.

“Kami amat berbangga dengan Ketua Pegawai Eksekutif kami kerana telah menerima anugerah penerbangan yang berprestij ini daripada pihak bank dan pemilik pesawat.

"Daya pandang strategiknya dalam menghadapi cabaran dinamik untuk menyeimbangkan kewangan dalam industri ini telah menjadi asas kejayaan kami, dan kami yakin kami akan terus melebarkan sayap di atas ketidakstabilan pasaran dengan asas kewangan yang kukuh, di bawah pimpinan dan bimbingannya," katanya.