Ditetak kerana enggan beri pinjam wang

Seorang lelaki cedera ditetak dalam kejadian berhampiran sebuah klinik di Pekan Bukit Pelandok pada Isnin.
Seorang lelaki cedera ditetak dalam kejadian berhampiran sebuah klinik di Pekan Bukit Pelandok pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Hanya kerana enggan memberi pinjam wang kepada rakannya, seorang lelaki cedera ditetak dalam kejadian berhampiran sebuah klinik di Pekan Bukit Pelandok di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa berusia 33 tahun ditemui orang awam dalam keadaan cedera parah.

Aidi Sham
Aidi Sham

"Bertindak atas maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah membuat tangkapan ke atas suspek di sebuah rumah di Taman Murni, Chuah pada jam 1.50 pagi.

"Polis juga telah merampas sebilah parang yang digunakan untuk mencederakan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, mangsa dan suspek merupakan rakan dan punca kejadian berlaku ekoran mangsa enggan meminjamkan wang kepada suspek.

Ujarnya, suspek yang ketika itu berada di bawah pengaruh alkohol telah bertindak melanggar dan menyerang mangsa menggunakan parang.

"Pemeriksaan mendapati, suspek mempunyai 12 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah dan masih dikehendaki bagi satu kes dadah.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ujian saringan air kencing suspek juga didapati positif methamphetamine dan suspek kini direman enam hari bermula Selasa untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan denda serta sebatan.