KKD perlu melihat semula, tatacara kerja yang boleh dibaiki - Azam

Azam ditemu bual pemberita selepas majlis sambutan Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital bertemakan 'Integriti Citra Malaysia Madani, pada Selasa. Turut hadir, Fahmi. - Foto Bernama
Azam ditemu bual pemberita selepas majlis sambutan Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital bertemakan 'Integriti Citra Malaysia Madani, pada Selasa. Turut hadir, Fahmi. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) perlu melihat semula sistem dan prosedur, tatacara kerja dan governans lama yang boleh dibaiki, dalam usaha meningkatkan integriti jabatan dan agensi di bawahnya, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti peringkat KKD di sini pada Selasa, Azam berkata, ia seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan integriti dan mengurangkan elemen rasuah, serta memperbaiki aspek tatakelola dan governans.

"Banyak perkara kita boleh lihat di mana antara lain berkaitan undang-undang dan prosedur yang dah lama dan lapuk, perlu dikaji semula.

"Sebab itu, KKD antara juga kementerian dan jabatan yang perlu melihat kepada sistem, prosedur dan tatakerja serta governans lama, yang perlu dibaiki,” katanya serta menambah SPRM bersedia untuk berbincang dengan kementerian dan agensi-agensi di bawah KKD, untuk mengatasi isu lapuk berkenaan.

Azam berkata, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) iaitu kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

"Pada masa akan datang, kita akan tingkatkan tata kelola dan juga governans, (dan) kita sedang merangka NACS,” katanya sesi libat urus bagi mewujudkan NACS itu sedang dijalankan dan ia dijangka dilancarkan pada pertengahan tahun hadapan.

Anwar pada 6 Julai lepas menerusi ciapan Twitternya berkata, kerajaan bersetuju untuk meneruskan kesinambungan NACP, dengan satu strategi baharu di peringkat nasional yang dikenali sebagai NACS.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang turut menekankan amalan integriti dalam KKD berkata, saranan Azam, akan disahut untuk dilakukan penambahbaikan dalam agensi di bawah KKD.

Artikel Berkaitan:

"Dengan ada sedikit penambahbaikan pada aspek tatakelola ini, saya harap ia juga dapat kurangkan perkara-perkara yang tidak patut berlaku,” katanya.

Beliau turut mengingatkan untuk melaporkan terus kepadanya, sekiranya terdapat perbuatan salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan warga KKD agar tindakan wajar dapat diambil.

Terdahulu, Fahmi turut memimpin bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) warga KKD, disaksikan Azam. - Bernama