Banjir Perak: 276 mangsa masih ditempatkan di empat PPS

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Keadaan banjir di Perak beransur pulih apabila jumlah mangsa menurun malam ini dengan 276 orang daripada 76 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 353 orang daripada 103 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan, satu PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar, Hulu Perak yang menempatkan 41 mangsa daripada 14 keluarga ditutup tengah hari tadi.

"Di Kerian, 100 orang daripada 24 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga pula berlindung di PPS SK Alor Pongsu.

"Di Hilir Perak, 77 orang daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala 42 orang daripada 10 keluarga berada di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih berada pada tahap berjaga-jaga dengan ketinggian 3.44 meter direkodkan berbanding paras normal iaitu dua meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula pada paras berjaga-jaga dengan 13.13 meter berbanding paras normal 10 meter.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan, Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. - Bernama

Artikel Berkaitan: