KFA bantu ringankan beban kewangan KDA FC

Muhamad Radhi (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Program Maraton Antarabangsa Kedah di Dataran Pekan Rabu pada Sabtu.
Muhamad Radhi (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Program Maraton Antarabangsa Kedah di Dataran Pekan Rabu pada Sabtu.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) selaku badan induk bola sepak negeri ini turut menyalurkan bantuan tunai untuk meringankan beban kewangan yang sedang dihadapi oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan Negeri Kedah, Muhamad Radhi Mat Din berkata, bantuan itu dihulurkan KFA setelah mendapat permohonan daripada KDA FC untuk membantu melangsaikan tunggakan gaji pemain, pegawai dan barisan kejurulatihan.

Katanya, bantuan itu juga adalah atas keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga merupakan Presiden KFA.

"KDA FC tidak mohon secara terus kepada kerajaan negeri tetapi permohonan itu dibuat kepada KFA yang merupakan badan induk bola sepak Kedah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Maraton Antarabangsa Kedah di Dataran Pekan Rabu di sini pada Sabtu.

Pada Sabtu lalu, pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengesahkan bahawa pasukan tersebut berdepan masalah kewangan.

Beliau juga secara terbuka turut memohon maaf kepada semua pihak termasuk ahli keluarga pemain serta penyokong dan peminat KDA berikutan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan, berpunca daripada masalah itu.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Muhamad Radhi yang juga Naib Presiden KFA berkata, keterbukaan Mohd Daud berhubung perkara itu tidak dilihat sebagai sesuatu yang menjatuhkan maruah KDA sebaliknya menampakkan keikhlasan beliau sebagai pemimpin untuk membawa pasukan keluar daripada masalah.

"Keikhlasan Mohd Daud terlihat jelas dengan kesanggupannya untuk menjual saham syarikat sendiri bagi menambah aliran tunai pasukan, selain melepaskan pegangan saham kepada pihak yang lebih berkemampuan untuk membawa KDA melangkah lebih jauh.

Artikel Berkaitan:

"Kita hargai niat murni tersebut dan berharap segalanya berjalan lancar untuk beliau dan pasukan," katanya.

Berkenaan model perniagaan baharu yang dikatakan akan membantu kewangan KDA, Muhamad Radhi berkata, setakat ini beliau belum mendapat maklumat lengkap kerana tiada perbincangan khusus mengenainya.

"Bagaimanapun saya menghormati pandangan serta usaha dijalankan beliau.

Banyak usaha telah dilaksanakannya dan kita berharap model perniagaan baharu tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi bola sepak negeri ini," katanya.