Hanya 40 peratus rakyat Malaysia dilindungi insurans - Ahmad Maslan

Ahmad (kiri) melawat reruai Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, pada Sabtu.
Ahmad (kiri) melawat reruai Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Dianggarkan hanya kira-kira 40 peratus rakyat di negara ini mempunyai perlindungan takaful dan insurans, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan 1 itu, disebabkan tahap kesedaran yang masih rendah mengenai kepentingan takaful dan insurans itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh kerajaan.

Jelasnya, kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan skim Insurans Tenang iaitu pelan Takaful Keluarga yang memberikan bantuan tunai sekiranya dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia disebabkan Covid-19.

"Mengambil contoh kejadian banjir besar di Shah Alam pada tahun 2021, hanya lima peratus daripada kerugian RM6.1 bilion yang ditanggung oleh mangsa mempunyai perlindungan insurans.

“Keadaan seperti itu, tentunya memberikan tekanan kepada pihak kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir membina semula kehidupan mereka selepas ditimpa bencana tersebut.

"Oleh itu, usaha memberi penjelasan berkenaan kepentingan perlindungan insurans dan takaful perlu dibuat di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, di kampung dan juga bandar. Ia penting supaya taraf peratusan takaful di negara ini akan meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, pada Sabtu.

Orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan insurans dan takaful pada Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, pada Sabtu.
Orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan insurans dan takaful pada Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Redzuan Mohamed

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah peranan Persatuan Takaful Malaysia telah banyak membantu masyarakat di bandar dan luar bandar menyertai program takaful dan insurans.

“Program di Pontian ini merupakan kali keempat diadakan dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN ) Pulai Sebatang bagi menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan perlindungan takaful dan insurans.

Sementara itu, Hasrunizah berkata, pada tahun lepas, Pejabat DUN Pulai Sebatang memberikan perlindungan takaful kepada 100 orang golongan miskin tegar.

"Selain itu, seramai 17 ketua kampung dan tiga penghulu di Kawasan DUN Pulai Sebatang juga telah diberikan perlindungan insurans dan takaful bagi melindungi tugas-tugas seharian mereka.

“Pada tahun ini, kita telah menambah seramai 223 orang miskin tegar diberikan perlindungan insurans dan takaful bagi melindungi mereka daripada kejadian tidak diingini,” ujarnya.